Motorola Project Maxwell Ialah Peranti AI Natif Yang Dipakai Pada Tubuh
Effi Saharudin
Seperti yang telah tertiris minggu lalu, Motorola sedang membangunkan sebuah peranti AI yang dipakai pada tubuh. Hari ini ia didedahkan sebagai Project Maxwell yang hanya sekadar konsep melihat bagaimana peranti kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan dalam kehidupan harian.

Ia kelihatan seperti batu sungai dengan tubuh licin dan turut dilengkapi mikrofon dan kamera. Sekilas pandang ia adalah seakan Humane AI Pin cuma tanpa projektor terbina. Sistem AI yang digunakan ialah Motorola Qira yang dibangunkan sendiri. Qira boleh merakam apa yang dilihat dan audio sekeliling sebelum menghasilkan ringkasan yang kemudiannya boleh disemak.

Kerana ia tidak mempunyai skrin, Project Maxwell dikawal menggunakan suara dengan ia menjalankan LLM yang memahami arahan diberikan oleh pemakai. Kerana Motorola Qira digunakan pada semua produk Motorola dan Lenovo, kesemua aksi yang dijalankan menggunakan Project Maxwell diselarikan pada peranti dengan ekosistem yang sama.
Project Maxwell dibangunkan untuk melihat bagaimana AI boleh digunakan dalam kegunaan harian dengan data yang dikumpul dijadikan asas untuk pembangunan produk Motorola di masa hadapan.






