LONDON: Enam sekutu Eropah menyatakan sokongan terhadap Denmark, susulan desakan semula Amerika Syarikay (AS) untuk mengambil alih Greenland.
“Greenland milik rakyatnya, dan hanya Denmark serta Greenland yang berhak membuat keputusan mengenai hal ehwal hubungan mereka,” kata pemimpin-pemimpin United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Itali, Poland, Sepanyol dan Denmark dalam satu kenyataan bersama.
Ahad lalu, Presiden Donald Trump berkata, AS ‘memerlukan’ Greenland, wilayah separa autonomi milik rakan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Denmark, atas alasan keselamatan.
Trump enggan menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk menguasai wilayah itu, sementara Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, memberi amaran pada Isnin, serangan AS akan menandakan pengakhiran NATO.
NATO adalah pakatan ketenteraan trans‑Atlantik di mana negara anggota bersetuju membantu antara satu sama lain jika diserang dari luar, dengan prinsip bahawa serangan terhadap satu dianggap sebagai serangan terhadap semua.
Isu masa depan Greenland muncul semula berikutan campur tangan ketenteraan AS di Venezuela, di mana tentera elit Amerika menjalankan operasi untuk menangkap Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, dan membawanya ke New York bagi menghadapi pertuduhan dadah.
Greenland adalah wilayah separa autonomi di bawah Kerajaan Denmark dan bukan anggota berasingan NATO, tetapi keselamatannya dilindungi oleh keanggotaan Denmark dalam pakatan tersebut.
Trump, yang menegaskan kepentingan strategik Greenland bagi keselamatan Artik dan akses kepada sumber semula jadi, tidak menolak kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan untuk memperoleh kawalan ke atas pulau itu.
Beliau juga berkata, AS kembali kepada dasar ketuanannya pada tahun 1823 dalam lingkungan pengaruhnya di hemisfera Barat, dan memberi amaran kepada beberapa negara Washington boleh mengalihkan perhatiannya kepada mereka.
Serbuan tentera AS di Venezuela membangkitkan semula kebimbangan AS mungkin mempertimbangkan untuk menggunakan kekerasan bagi mengawal Greenland.- BBC






