ASUS ROG dan Kojima Production Melancarkan Tablet Gaming, Tetikus, Fon Kepala dan Alas Edisi Khas
Effi Saharudin
ASUS Republic of Gamers dan Kojima Productions mengumumkan kerjasama di CES bagi menghasilkan tablet gaming, tetikus, fon kepala dan alas meja edisi terhad studio permainan yang ditubuhkan oleh Hideo Kojima.

ASUS ROG Flow Z13-KJP dilengkapi skrin 13.4-inci 2.5K Nebula Display dengan kadar segar semula 180Hz dan 100% warna DCI-P3. Ini dipadankan dengan cip AMD Ryzen AI Max+ 395m iGPU Radeon 8060S, memori 128GB LPDDR5X-8000, storan 1TB PCIe 4.0 NVMe M.2 SSD dan bateri 70Wh.

Papan kekunci yang boleh ditanggalkan hadir dengan sistem lampu RGB. Pilihan I/O pula adalah 2x USB4 (DisplayPort 2.1 / Power Delivery 3.0), 1x USB 3.2 Gen2 Type-A, 1x HDMI 2.1 FRL, 1x butang Command Center, 1x pembaca kad microSD UHS II dan 1x bicu audio.
Sistem audio yang disertakan menyokong Dolby Atmos. Tubuh diperbuat daripada bahan aluminium dan gentian karbon menggunakan rekaan Yoji Shinkawa. Berat keseluruhan tablet ini ialah 1.72 kilogram.

Aksesori yang ditawarkan ialah fon kepala ASUS ROG Delta II-KJP juga dengan rekaan motif Yoji Shinkawa dalam warna putih dan emas. Logo ROG dan watak Ludens diletakkan di sisi cawan telinga. Tetikus ASUS ROG Keris II Origin-KJP Edition pula ialah tetikus gaming ringan dalam warna emas, kelabu dan putih. Sensor mempunyai sensor ROG AimPoint Pro dengan kejituan 42,000 DPI. Tetikus boleh disambungkan kepada peranti menggunakan blutooth, RF 2.4 GHz dan juga berwayar.

Akhir sekali ialah alas meja ASUS ROG Scabbard II XXL-KJP yang diperbuat daripada bahan kain di atas dan getah di bahagian bawah. Saiz alas ini ialah 900 x 400 x 3mm. Harga jualan masih belum diumumkan.






