Artis Yang “Membaiki” Lukisan Sehingga Menjadi Jenaka Global Meninggal Dunia
Effi Saharudin
Ecce Homo ialah lukisan fresco yang dihasilkan oleh Elías García Martínez di dinding sebuah gereja Borja, Sepanyol pada dekad 1930an. Pada tahun 2012, kombinasi usia dan kelembapan udara menyebabkan lukisan ini mula rosak. Ini memberikan inspirasi kepada Cecilia Giménez Zueco untuk membaiki Ecco Homo menggunakan bakat seni beliau.

Tetapi karya Zueco adalah seperti tikus membaiki labu sehingga wajah Jesus dalam lukisan asal kini kelihatan seperti beruk. Apabila gambar lukisan ini diterbitkan di internet, ia dengan pantas menerima jolokan Ecco Mono dengan mono ialah monyet dalam bahasa Sepanyol.
Semalam, Cecilia Giménez Zueco meninggal dunia pada usia 94 tahun. Selepas usaha beliau membaiki lukisan ini tular ke seluruh dunia sehingga menjadi meme, Zueco segera mengatakan kritikan orang ramai ialah tidak adil kerana lukisan itu belum siap dibaiki. Pada awalnya pentadbiran gereja ingin mengembalikan semula lukisan asal Ecco Homo. Tetapi apabila ramai pelawat datang ke Borja untuk melihatnya sendiri usaha ini dibatalkan.
Pelawat dikenakan bayaran untuk melihat dan hasil kutipan yang mencecah pulih ribu Euro digunakan untuk membaiki gereja dan dijadikan dana menjaga warga tua di bandar Borja. Bandar yang selama ini menerima 5000 pelawat setahun secara mendadak menerima sehingga 20,000 pelawat pada tahun 2013 disebabkan hasil tangan Cecilia Giménez Zueco.






