
GOG Dijual Kembali Kepada Pengasas Pada Harga RM 102 Juta
Effi Saharudin
Michał Kiciński, pengasas bersama Good Old Games (GOG) dan CD PROJEKT, telah membeli 100% saham GOG yang dipegang oleh CD PROJEKT. Dengan ini platform jualan permainan video yang ditubuhkan Kiciński dengan Marcin Iwiński pada tahun 2008 kini dipegang sepenuhnya oleh Kiciński.
GOG dijual kepada Kiciński pada harga PLN 90.7 juta (~RM 102.4 juta) dan ia akan meneruskan operasi secara bebas selepas ini. Di bawah pemilikan baharu GOG bertekad aka meneruskan penjualan permainan video bebas DRM, memastikan permainan klasik boleh dimainkan pada PC moden dan menampilkan lebih banyak permainan baharu berinspirasikan retro pada tahun 2026.
Walaupun berpindah tangan, permainan terbitan CD PROJEKT RED seperti The Witcher dan Cyberpunk 2077 masih akan ditawarkan menerusi stor GOG. Platform jualan permainan video ini dilancarkan pada tahun 2008 bagi menawarkan permainan asli kepada pengguna di Poland pada harga yang lebih mampu milik oleh CD PROJEKT. Pada waktu tersebut permainan cetak rompak berleluasa di Poland.
GOG menawarkan permainan asli pada harga yang setanding atau kadang kala lebih rendah berbanding cetak rompak sekaligus menyokong pembangun serta membolehkan versi asli dengan sokongan bahasa Poland ditawarkan.
Ia kini menjadi platform alternatif kepada Steam dan Epic Games dengan pembeli tidak perlu risau selepas permainan dimuat turun, ia tidak lagi boleh diakses kerana sistem anti cetak rompak DRM telaj luput atau sudah tidak beroperasi lagi.






