Samsung Lancarkan Dua Speaker Music Studio Yang Menggabungkan Estetik Dengan Audio
Effi Saharudin
Tahun lalu speaker Music Frame dilancarkan sebagai usaha pertama Samsung untuk menggabungkan sistem audio dengan estetik ruang tamu yang minimalis. Bahagian depan kelihatan seperti bingkai gambar dan ia menyokong ekosistem Q-Series dan SmartThings. Sempena CES 2026, Samsung melancarkan dua model baharu speaker dengan estetik menarik.
Music Studio 5” dan Music Studio 7″ adalah dua speaker yang menerima sentuhan pereka Erwan Bouroullec. Ia kelihatan minimalis dengan sasaran diletakkan di atas meja kerja atau ruang santai di rumah tetapi pada waktu yang sama kelihatan seperti arca seni yang tidak mengganggu rekaan ruang.

Music Studio 7″ ialah model paling mercu menyokong 3.1.1 saluran menerusi pemandu menembak ke kiri, kanan, depan dan atas dalam tubuh berbentuk empat segi. Audio 3D spatial boleh dimainkan dengan bantuan Samsung Audio Lab Pattern Control Technology. Walaupun direka untuk berfungsi secara kendiri, Speaker WiFi ini boleh digunakan juga dengan TV dan soundbar Samsung menerusi sokongan Q-Symphony.

Music Studio 5″ pula ialah model paling dengan audio 2.1 yang menerima sentuhan Samsung Audio Lab. Sebuah woofer 4″ dipadankan dengan dua pemandu tweeter. Seperti model di atas, speaker ini juga menyokong bluetooth dan WiFi. Saiznya yang lebih kecil dan mempunyai muka depan berbentuk bulat memberikan “wajah” seakan sebuah pemain piring hitam lama yang diletakkan di atas meja kerja.
Kedua-dua model akan diperlihatkan secara rasmi di CES 2026 bulan depan. Harga dan bila ia akan dijual belum lagi diumumkan.
.






