DJI Mengeluarkan Kenyataan Rasmi Berkaitan Perkembangan Terkini Di Amerika Syarikat
Amy Maizuraa
DJI telah memuat naik kenyataan rasmi terbaharu di media sosial berhubung perkembangan di Amerika Syarikat. Dalam kenyataan tersebut, pihak syarikat mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengikuti perkembangan semasa serta menyuarakan pandangan mereka kerana sokongan yang diberikan amat dihargai.

DJI menegaskan bahawa kemas kini daripada FCC tidak menjejaskan produk yang telah digunakan di Amerika Syarikat. Oleh itu, pelanggan masih boleh membeli serta menerbangkan dron DJI seperti biasa. Selain itu, FCC menjelaskan bahawa produk baharu berpotensi untuk diluluskan bagi pelancaran pada masa hadapan bergantung kepada penilaian oleh Jabatan Pertahanan dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Seterusnya, DJI menolak kebimbangan berkaitan keselamatan data dengan menegaskan bahawa isu tersebut lebih bersifat perlindungan pasaran berbanding berasaskan bukti kukuh. Produk DJI pula kekal sebagai antara yang selamat di pasaran hasil semakan berterusan selama bertahun-tahun oleh agensi kerajaan Amerika Syarikat.

DJI mengakui kecewa terhadap perkembangan yang berlaku namun syarikat tetap menegaskan komitmen terhadap pelanggan di Amerika Syarikat. Pada masa yang sama, DJI sedang giat meneroka langkah seterusnya bagi memastikan perkhidmatan serta sokongan terus diberikan. Syarikat itu juga berjanji akan memaklumkan setiap perkembangan baharu dari semasa ke semasa.






