Hotel Di Jepun Menawarkan Pengalaman Menggunakan Mesin Basuh Manusia
Effi Saharudin
Mirai Ningen Sentakki yang bermaksud mesin basuh manusia diperlihatkan di Expo 2025 Osaka dengan ia dijual pada harga melampau 60 juta Yen (~RM 1.57 juta) sebuah dengan 60 unit sahaja akan dikeluarkan. Pasti ramai tidak mampu membeli mesin pencuci yang unik ini tetapi bagi yang masih ingin mencuba, ia kini ditawarkan di Dotonbori Crystal Hotel III yang terletak di Osaka.

Bilik hotel dengan mesin basuh ini ditawarkan pada harga 18,000 yen (~RM 471) untuk sesi selama 90 minit. Dengan kitaran membersihkan tubuh mengambil masa sehingga 20 minit, sehingga empat pengguna boleh mencubanya untuk setiap sesi yang ditawarkan setiap hari dari jam 10:30 pagi hingga 8:30 malam.

Selain mencuba sendiri Mirai Ningen Sentakki, pengguna boleh bersantai dalam bilik yang turut dilengkapi kerusi santai dan bilik sauna terbina. Bagi yang berminat tempahan untuk sesi sudah boleh dilakukan minggu ini.
Semasa duduk di dalam pod pembersihan, pengguna akan ditayangkan video dan muzik yang menenangkan jiwa. Nadi akan dijejak oleh Mirai Ningen Sentakki untuk melihat tahap stres. Selepas kitaran membersih lengkap, air akan dikeluarkan daripada kebuk dan pengguna boleh keluar untuk mengeringkan badan.






