HDMI Licensing Administrator (HDMI LA) ialah badan yang bertanggungjawab untuk memperkenalkan teknologi-teknologi baru berkaitan sambungan paparan skrin, dengan format HDMI 2.2 terbaru diperkenalkan pada pertengahan tahun ini.
Mereka juga akan memperlihatkan sejumlah teknologi visual berkaitan gaming sewaktu acara CES 2026, termasuklah tiga kabel baru: Ultra96 HDMI Cable, Ultra High Speed HDMI Cable dan Premium High Speed HDMI Cable.

Kabel Ultra96 khususnya menyokong kadar penghantaran data sepantas 96Gbps dan menyokong kadar segar semula sepantas 500Hz pada konsol permainan Microsoft Xbox Series X, dan untuk komputer gaming berkuasa, kabel ini dilihat menyokong paparan dengan resolusi 16K dengan kadar segar semula 60FPS, 8K 60 FPS Full Chroma dan 4K 240 FPS untuk pengalaman gaming beresolusi tinggi yang tiada tolok bandingan.
Dalam pada itu, kabel Ultra High Speed HDMI Cable pula akan hadir dengan kadar penghantaran data 48Gbps manakala Premium High Speed Cable pula mempunyai kadar penghantaran data 18Gbps.
Selain daripada demo Xbox Series X, HDMI LA akan menunjukkan demo dengan konsol Nintendo Switch 2 dimana konsol tersebut bukan sahaja akan disambungkan ke paparan skrin besar, tetapi hadir dengan sokongan audio beresolusi tinggi melalui sambungan HDMI eARC dengan lengah masa yang dikurangkan secara mendadak.
Ciri-ciri gaming lain yang akan diperlihatkan oleh HDMI LA termasuklah sokongan Variable Refresh Rate, Auto Low Latency Mode dan Quick Frame Transport yang dilihat membantu dalam mengurangkan lengah masa penghantaran data dari konsol/komputer ke paparan.






