Tikus Berjaya Diajar Untuk Menembak Dalam Permainan Komputer DOOM
Nazrin
DOOM ialah sebuah permainan komputer penembak pertama (first person shooter) lagenda yang kini digunakan sebagai contoh bagaimana sebuah permainan komputer boleh dimainkan pada pelbagai jenis komputer, kecil ataupun besar.
Pada 2021, sebuah penjejak pergerakan telah dibangunkan untuk membolehkan tikus makmal bergerak didalam permainan tersebut. Eksperimen tersebut berjaya, tetapi pembangun eksperimen tersebut, Viktor Tóth terpaksa pulang, dan hanya boleh meneruskan eksperimen tersebut baru-baru ini.

Untuk eksperimen terbaru ini, penjejak pergerakan tersebut telah dinaiktaraf dengan paparan skrin OLED AMOLED melengkung dengan resolusi 1080p dan sudut penglihatan 180 darjah secara melintang dan 80 darjah menegak untuk memberi simulasi pandangan penuh.
Eksperimen terbaru ini juga memperkenalkan mekanisma menembak yang boleh diaktifkan oleh tikus-tikus (Todd, Kojima, Gabe) apabila mereka bertemu musuh yang perlu ditewaskan. Bergantung kepada betapa jauh tikus-tikus ini berjaya melepasi pelbagai halangan dalam permainan, sebuah mekanisma insentif melalui air gula juga telah diperkenalkan sebagai ganjaran untuk tikus-tikus tersebut.

Setakat ini, tikus-tikus ini nampaknya sudah berjaya untuk mengetahui bagaimana untuk bergerak dalam permainan dan menggunakan mekanisma menembak, yang telah mengambil masa dua minggu untuk dipelajari.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai eksperimen ini, dan bagaimana anda boleh melakukannya, anda boleh ke laman web Rats Play DOOM.






