Kemaskini Baru Windows 11 Memberi Fokus Untuk Pengoptimasian Konsol PC Mudah-Alih
Nazrin
Seperti yang sedia maklum, banyak jenama-jenama pembuat peranti komputer juga telah memperkenalkan konsol PC mudah-alih yang membolehkan pengguna untuk memainkan permainan komputer kegemaran mereka dimana-mana sahaja.
Microsoft baru-baru ini memperkenalkan mod Xbox Full Screen Experience yang mana aplikasi Xbox pada sistem operasi Windows 11 boleh diaktfikan tanpa memerlukan pengaktifan ciri Explorer. Ciri ini memberi ruang memori yang lebih besar dan kuasa pemprosesan tambahan yang boleh dimanfaatkan oleh permainanan-permainan komputer pada konsol seperti ASUS ROG Xbox Ally X pada mulanya.
Dengan kemaskini terbaru, Microsoft mengatakan bahawa mod Full Screen Experience ini sudah boleh mula digunakan oleh konsol-konsol PC mudah-alih yang lain seperti MSI Claw A8, siri Lenovo Legion Go dan sebagainya, asalkan ia menggerakkan sistem operasi Windows 11 dengan kemaskini terbaru.
Microsoft juga memperkenalkan Advanced Shader Delivery (ASD), iaitu sebuah ciri yang memuat-turun komponen shader ataupun program grafik yang secara lazimnya perlu diproses secara selari oleh cip grafik apabila sebarang input dilakukan dalam sebuah permainan komputer.

Sebelum ini, shader secara lazimnya hanya akan dimuatkan apabila permainan dimulakan, dan ini akan memakan masa yang agak lama. Dengan ciri ASD, bahagian tersebut akan dimuat-turun lebih awal, dan ini bukan sahaja membolehkan permainan untuk dilancarkan dengan lebih pantas, tetapi mengurangkan beban kepada komponen cip grafik dan penggunaan kuasa bateri.
Pengoptimasian ini adalah bergantung kepada samada pembangun permainan mahu menggunakannya. Microsoft mengatakan bahawa setakat ini lebih 12 tajuk permainan yang ditawarkan melalui Xbox App sudah menyokongnya, dan lebih banyak tajuk akan tiba kelak.

Selain daripada itu, Microsoft juga dilihat telah mengemaskini pelagak Prism untuk membolehkan komputer riba atau konsol yang digerakkan oleh cip pemprosesan ARM (Qualcomm Snapdragon X) untuk menggerakkan permainan-permainan yang ditawarkan melalui aplikasi Xbox, dan ia dijangka akan dioptimasikan lagi kelak.
Microsoft juga mengatakan bahawa mereka sedang menguji kebolehan komputer riba untuk menggunakan ciri Xbox Full Screen Experience, dan ia boleh diakses jika anda menggunakan akaun Windows Insider Program.
Jika anda seorang penguji dalam program ini, mod Xbox FSE boleh diakses pada komputer desktop dan pelbagai jenis rekaan komputer riba yang menggerakkan sistem operasi Windows 11.
Ciri Auto Super Resolution (penaiktarafan resolusi permainan komputer sama seperti AMD FSR dan NVIDIA DLSS) juga sedang diuji, dimana Microsoft mahu mengimplimentasi fungsi tersebut sekiranya permainan tidak menyokong salah satu atau kedua-dua fungsi Super Resolution yang ditawarkan oleh AMD atau NVIDIA. Ciri ini dijangka akan ditawarkan kepada ASUS ROG Xbox Ally X pada awal tahun hadapan.






