Threads Menguji Ciri Ringkasan AI Untuk Mudahkan Kenali Profil Pengguna
Amy Maizuraa
Threads dilaporkan sedang menguji ciri kecerdasan buatan (AI) yang boleh menjana ringkasan aktiviti pengguna. Ringkasan ini akan muncul pada profil apabila dilawati sekali gus memberikan sorotan ringkas tentang sejarah aktiviti terdahulu.

Ciri ini akan memaparkan maklumat ringkas mengenai pemilik akaun, kandungan yang sering dikongsi, serta minat utama yang mungkin menarik perhatian. Dengan cara ini, pengguna lain dapat memahami latar belakang seseorang dengan lebih cepat tanpa perlu meneliti semua kiriman satu per satu.
X telah pun menawarkan ciri serupa melalui pilihan ‘More about this account’ untuk pengguna Premium, di mana fungsi Grok digunakan bagi menjana ringkasan profil. Ringkasan ini memudahkan pengguna menilai sama ada mereka ingin mengikuti sesuatu akaun atau tidak. Oleh itu, langkah Threads ini dilihat sebagai strategi untuk menyaingi pesaingnya sambil memanfaatkan teknologi AI milik Meta sendiri.

Walaupun ciri ini jelas membantu memudahkan aktiviti namun terdapat juga kebimbangan bahawa ia boleh mengurangkan keseronokan melihat profil secara manual. Ini kerana ringkasan AI berpotensi merangkumkan identiti seseorang kepada beberapa butiran ringkas sahaja sehingga pengguna mungkin kurang berminat untuk mengikuti akaun yang tidak begitu aktif.
Kesannya dijangka kecil kerana ringkasan pantas lebih banyak membantu dan turut berfungsi sebagai penapis sosial. Contohnya, jika ia memaparkan komen kritikal, anda boleh terus memilih untuk tidak berinteraksi lagi. Buat masa ini, Threads masih belum mengumumkan secara rasmi ciri tersebut dan ia dilaporkan masih dalam fasa ujian.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






