TSMC Saman Bekas Timbalan Presiden Yang Berpindah Ke Intel
Effi Saharudin
TSMC memfailkan saman ke atas bekas Timbalan Presiden Kanan syarikat Wei-Jen Lo yang baru sahaja berpindah ke Intel. Saman yang difailkan menerusi Mahkamah Harta Intelek dan Komersial Taiwan kerana TSMC berkata ia berdasarkan terma kontrak pekerjaan antara TSMC dan Lo, perjanjian tanpa persaingan yang ditandatangani oleh Lo dan mengikut Akta Rahsia Perdagangan.

Tambah TSMC lagi, terdapat kebarangkalian tinggi Lo menggunakan, meniriskan dan mendedahkan pelbagai rahsia industri syarikat kepada Intel. Semasa di TSMC, Lo terlibat dalam pembangunan teknologi 5nm, 3nm damn 2nm. Beliau berpindah ke Intel pada bulan Oktober selepas 21 tahun di TSMC tetapi sebelum itu beliau bertugas di Intel selama 18 tahun.
Selepas saman difailkan, Intel dan Lo belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Kerana status TSMC sebagai syarikat fabrikasi nombor satu dunia, pelbagai usaha dilakukan oleh pesaing untuk mendapatkan kakitangan mereka.
Telah kami laporkan sebelum ini, kakitangan TSMC ditawarkan gaji tiga kali ganda lebih tinggi untuk berpindah ke Huawei sebagai usaha merapatkan jurang teknologi selepas gergasi China dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






