Fon kepala dicipta pada tahun 1910 oleh Nathaniel Baldwin dengan ia digunakan oleh pengendali radio. Fungsinya cukup asas iaitu memainkan audio daripada radio. Lebih seratus tahun sudah berlalu dan fon kepala kini ialah kelengkapan audio yang sangat sofistikated. Ia bukan sekadar untuk mendengar muzik dan menonton video tetapi kini mempunyai ciri tambahan yang tidak pernah difikirkan oleh Nathaniel Baldwin. Setelah sekian lama mengulas peranti audio, saya rasakan saya akhirnya bertemu dengan fon kepala paling lengkap di pasaran iaitu JBL Tour One M3.

Spesifikasi
JBL Tour One M3 | |||
---|---|---|---|
Jenis | Fon telinga belakang tertutup | ||
Pemandu | 40mm | ||
Mikrofon | 8 mikrofon | ||
Bateri | 850 mAh | 40 Jam ANC | 70 jam tanpa ANC |
Port pengecas | USB-C | ||
Codec | SBC, AAC, LC3, LDAC | ||
Sistem operasi disokong | Semua | ||
Sokongan pembantu maya | Ya | ||
Pad Kawalan | 1 pad sesentuh | ||
Kemampuan kalis air | Tidak | ||
Berat | 278 gram | ||
Harga Jualan | RM 1899 |
Rekaan dan Penggunaan

Rekaan JBL Tour M3 ialah hampir sama sahaja dengan Tour M2 sebelum ini. Perubahan paling besar terletak pada cawan telinga yang lebih bulat dan aerodinamik dengan bahagian angkup telinga yang kecil membuatkan ia nampak cukup kompak. Rekaan M3 lebih kontemporari dengan fon kepala Sony, Apple, Razer, Bose dan Sonos yang juga mengikuti trend aksesori audio yang lebih dibulatkan.
Port USB-C, butang kuasa, tambatan bluetooth dan menukar mod ANC diletakkan pada cawan telinga kanan. Sebuah pad kawalan sesentuh turut diletakkan pada permukaan cawan telinga kanan. Kawalan asas memainkan, menjada, melangkau depan/belakang dan menyeru pembantu maya disokong pada sesentuh ini.

Butang kuasa pula ialah dari jenis suis melungsur yang dengan tiga posisi. Posisi pertama ialah M3 dimatikan, posisi kedua untuk menghidupkannya dan posisi ketiga pula untuk memulakan proses tambatan bluetooth. Pada M2 hanya terdapat dua posisi sahaja. Saya lebih menyukai butang kuasa M3 kerana tidak akan timbul isu menekan butang bluetooth terlalu lama sehingga fon kepala dimatikan secara tidak sengaja.

Pada cawan telinga kiri pula diletakkan butang laras audio. Kesemua butang diletakkan di posisi ergonomik memudahkan akses serta melakukan tetapan. Terdapat span yang sederhana saiznya di bahagian atas. Saiznya sedikit kecil untuk kepala saya yang besar tetapi span ini cukup tebal untuk mengurangkan tekanan ke atas kepala.
Terdapat huruf L dan R jelas terpampang di dalam cawan telinga supaya pengguna tidak memakai fon kepala terbaik. Tetapi saya sudah lama di Pavlovkan mencari logo R berwarna merah pada tangkai angkup kanan. Ini penyelesaian yang diambil JBL dan ianya lebih baik daripada tiada langsung sebarang indikator seperti pada fon kepala murahan.

Span cawan telinga adalah lembut dan menekap telinga dengan baik. Ia diperbuat daripada bahan kulit buatan yang tidak menyebabkan kegatalan tetapi kerana kekedapan ini menyebabkan telinga boleh berpeluh selepas dipakai untuk tempoh yang lama. Bahan kulit buatan menang nampak lebih bergaya dan premium, tetapi di negara tropika seperti Malaysia ia menyukarkan telinga “bernafas”.
Angkup telinga mempunyai gerigi yang ketat untuk menetapkan saiz di kepala. Ia melentur dengan baik tanpa kedengaran bunyi seperti mekanisme akan mudah patah. Ia juga boleh dipanjangkan ke saiz yang cukup besar untuk kepala saya.

Kedua-dua cawan telinga juga boleh dilipat ke dalam dan berputar 90 darjah membolehkan ia digantung pada leher dengan lebih selesa. Rekaan boleh lipat ini memberikannya kelebihan berbanding Sony XH-1000XM5, Apple AirPods Max dan Sonos Ace yang tidak boleh dilipat langsung. Kemampuan dilihat ialah penting untuk fon kepala ANC supaya tidak mengambil ruang besar dalam beg.
Secara keseluruhan rekaan M3 amat baik cuma jika ada satu kekurangan ialah tiada sambungan terus menggunakan kabel audio 3.5mm Ini adalah bersebab kerana M3 direka untuk digunakan bersama JBL Smart Tx bagi mereka yang inginkan sambungan berwayar. Ini akan saya terangkan lebih jelas di bawah.
Audio
Secara lalai, kualiti bunyi adalah agak seimbang tetapi sedikit rata. Fon kepala moden kini menawarkan audio rata secara lalai dengan pemilik perlu memilih EQ yang paling sesuai dengan pilihan peribadi. Saya tidak pernah mengulas One M2 maka saya tidak boleh katakan ada perbezaan ataupun tidak dengan M3.

Yang boleh saya katakan bass adalah lantang dan jelas tanpa menyebabkan audio lagi tenggelam. Aplikasi JBL menyediakan enam EQ seperti Vocal, Jazz, Bass, Studio, Extreme Bass dan Custom. Vocal ialah pilihan saya untuk muzik konsert Live. Jazz pula membuatkan instrumen kedengaran lebih jelas dan gemeresik. Secara peribadi saya lebih banyak menggunakan tetapan Bass kerana lebih banyak mendengar genre Rock dan Pop. Bagi yang inginkan profil audio sendiri, Custom memberikan pilihan 10 titik kawalan yang kemudiannya boleh disimpan.
Kualiti audio adalah amat bergantung kepada codec dan M3 menyokong SBC, AAC, LC3, dan LDAC. Yang terbaik ialah LDAC dan sambungan terus kepada komputer menggunakan kabel USB-C. M3 tidak menyokong sambunga kabel audio 3.5mm secara terus tetapi menyokong audio nirhilang menggunakan USB sama seperti sebuah AirPods Max baharu.
Audio Spatial dan Penjejakan
Kedua-dua ciri ini disokong walaupun ramai merasakan ia sekadar gimik tetapi saya akur ada yang gemar menggunakannya. Mod spatial pada hemat saya kedengaran sedikit aneh khususnya jika sumber muzik tidak direka untuk spatial. Yang saya rasakan lebih baik ialah mod penjejakan pergerakan kepala. Tanpa perisian tambahan dapat dirasakan audio datang dari satu sahaja. Ini ciri yang saya amat sukakan pada iPhone dan akhirnya dengan M3 saya dapat menikmatinya juga pada sebuah telefon Android.

ANC
Sistem ANC yang digunakan adalah kompeten dan memuaskan. Saya hanya mengujinya di rumah dan ketika bekerja di kedai mamak setiap pagi ketika sarapan. M3 boleh menapis bunyi bising kipas, mamak sedang memasak magi goreng yang dipesan dan alunan muzik yang dipasang kuat. Kadang kala bunyi frekuensi tinggi seperti mesin pengisar buah akan menerjah masuk tetapi ia tidak menyebabkan kerja terganggu.

Malang sekali saya tidak pergi mengembara bulan ini dan tidak dapat menguji kecekapan ANC M3 dalam kapal terbang. Saya sekadar mencari klip audio kabin kapal terbang di YouTube dan memainkan audio pada tetapan tinggi. Secara keseluruhan ia adalah memuaskan tetapi tidak di tahap sama dengan Sony XM5 atau AirPods Max. Sungguhpun begitu perbezaan adalah minima dengan kekurangan ini diselesaikan dengan mod tambahan yang akan saya sentuh di bahagian perisian di bawah nanti.
Mod tembus juga baik cuma audio suara bercakap tidak jelas 100%. Terdapat sokongan mematikan ANC secara automatik apabila bercakap. Dengan ini M3 tak perlu ditanggalkan untuk bercakap dengan rakan sepejabat apabila ditegur.
JBL Smart Tx
Dongel nirwayar ini ialah aksesori yang menjadikan M3 unik berbanding fon kepala yang pernah saya ulas di Amanz. Apabila disambungkan kepada bicu audio 3.5mm pada komputer, tablet, IFE kapal terbang atau radio lama, ia menjadi pemancar audio ke M3. Majoriti kapal terbang masih tidak menyokong tambatan bluetooth dan JBL Smart Tx ialah penyelesaian kepada isu ingin menikmati IFE secara nirwayar.

JBL Smart Tx juga menyokong Auracast maka lebih daripada satu peranti boleh menerima audio yang dipancarkan olehnya. Skrin pada tubuh JBL Smart Tx pula digunakan untuk mengakses kawalan muzik, menukar EQ, mengubah tetapan ANC, mengubah tetapan penjejakan kepala dan melihat status bateri.
Kekurangan terletak pada skrin yang kecil dan pengesanan sentuhan yang tidak jitu. Pergerakan jari untuk bertukar ke skrin tetapan lain kadang kala tidak dikesan. Sebaliknya skrin mengesan ia disentuh dan ia membuka menu yang tidak dikehendaki. UI pada JBL Smart Tx perlu dibesarkan lagi khususnya untuk mereka yang berjari sosej seperti saya.
Perisian dan Aplikasi
Aplikasi JBL Headphone diperlukan untuk melakukan pelbagai tetapan, mengakses ciri dan mengemaskini firmware. Ia antara aplikasi yang kemas dan cantik tetapi lebih penting sekali ialah mudah digunakan. Pelbagai ciri boleh dicari dengan mudah tidak seperti aplikasi Sony yang sukar digunakan. Butang dalam aplikasi juga besar memudahkan ia dibaca. Kawalan untuk JBL Smart Tx juga dilakukan dalam aplikasi yang sama.
M3 turut menyokong tambatan menggunakan Google Fast Pair. Pada peranti Android fon kepala akan terus muncul sebaik sahaja dihidupkan dengan tambatan hanya memerlukan satu butang ditekan. Selepas ditambat saranan muat turun aplikasi JBL Headphone diberikan bersama dengan mendaftarkan M3 di bawah akaun Google anda untuk dijejak dalam Google Find Hub.

LDAC turut boleh diaktifkan/dimatikan menerusi aplikasi ini. Saya cuma sedikit kecewa setiap kali ini dilakukan, M3 perlu dimatikan sebelum bersambung kepada telefon. Pada fon kepala lain, ini boleh dilakukan tanpa fon kepala melakukan but semula. Dua ciri unik M3 yang ingin saya ketengahkan ialah Relax Mode dan SilentNow.
Relax Mode memberikan pilihan bunyi laut, unggun api, cengkerik, hutan dan air dimainkan untuk ketenangan. Kelima-lima bunyi boleh diaktifkan serentak dengan tetapan ia dimainkan sehingga satu jam. Tidak perlu lain menstrim video white noise daripada YouTube atau Spotify. Sistem pemasa ini berguna sekiranya bunyi ini digunakan untuk tidur. Selepas tamat masa audio dimatikan bersama dengan fon kepala.

SilentNow pula mengaktifkan ANC tanpa M3 disambungkan kepada telefon. Ini ciri yang berguna dalam kapal terbang kerana ANC boleh diaktifkan dengan pemasa dan di kemudiannya penggera boleh dibunyikan. Saya kerap kali terlepas waktu makan dalam kapal terbang kerana tidur nyenyak. Ciri SilentNow dengan pemasa (sehingga 7 jam) ini bukan sahaja mengelakkan terlajak tidur tetapi menjimatkan bateri kerana bluetooth dimatikan. Untuk mematikan ciri ini, saya hanya perlu menekan butang ANC pada cawan telinga kanan.
Bateri
Dengan ANC, M3 boleh beroperasi sehingga 40 jam dan tanpa ANC pula sehingga 70 jam. Ini hayat penggunaan yang cukup panjang untuk penerbangan mengelilingi bumi. Sepanjang tempoh ulasan selama seminggu saya hanya mengecasnya sekali dengan bateri boleh dicas sepenuhnya dalam masa 2 jam.
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x JBL Tour One M3.
- 1x JBL Smart Tx
- 1x Beg simpanan.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Kabel bicu audio 3.5mm ke USB-C.
- 1x Penyesuai USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Kad jaminan.

Kesimpulan
JBL Tour One M3 ialah kesinambungan kepada One M2 yang digantikan. Rekaan lebih kontemporari, hayat bateri sangat cemerlang, dan prestasi audio yang amat memuaskan. Kemampuan mendengar audio nirhilang menggunakan USB-C ialah bonus bersama dengan ciri SilentNow yang membolehkan ANC dinikmati tanpa BT dihidupkan.
Sementara itu dongel JBL Smart Tx memudahkan peranti tanpa BT, seperti sistem IFE dalam pesawat digunakan secara nirwayar. Pada harga RM1899 sepasang, ia mungkin agak mahal tetapi ini ialah bayaran masuk untuk audio premium, ciri mewah dan pakej yang sangat lengkap untuk sepasang fon kepala nirwayar dengan ANC.

Pro
- Audio mantap
- ANC dan mod tembus yang baik.
- JBL Smart Tx membolehkan peranti tanpa BT disambung menggunakan bicu 3.5mm
- Rekaan kompak mudah dibawa dalam beg.
- SilentNow dan RelaxMode amat berguna untuk ketenangan ketika dalam kenderaan.
- Hayat bateri sehingga 70 jam.
- Aksesori tak perlu dibeli berasingan.
- Sokongan audio nirhilang menggunakan sambungan USB-C.
- Menyokong Google Fast Pair.
Kontra
- Tiada sambungan terus 3.5mm. Tidak boleh digunakan jika kehabisan kuasa.
- Membuatkan telinga berpeluh jika digunakan untuk tempoh yang lama.
- Skrin JBL Smart Tx terlalu kecil dan sukar menekan elemen yang kecil.
