TechLife akan melancarkan tiga produk baharu di Malaysia pada 22 Mei 2025, iaitu TechLife Pad Neo, Smart Watch P1, dan Clip-on Earbuds. Setiap produk hadir dengan ciri menarik yang direka khas mengikut sasaran pengguna masing-masing.
TechLife Pad Neo ialah sebuah tablet yang direka untuk memenuhi keperluan harian. Tablet ini dilengkapi dengan skrin HD bersaiz 10.1 inci, sesuai untuk menonton video, membaca artikel, serta menjalankan multitugas dengan lancar. Ia turut dilengkapi dengan slot SIM hibrid, yang membolehkan penggunaan dua SIM atau penambahan storan menerusi kad SD.
Dengan sambungan LTE, pengguna dapat berhubung tanpa gangguan untuk bekerja, belajar, atau menikmati hiburan. Tablet juga dilengkapi dengan gabungan memori 8GB RAM dan 8GB RAM maya. Selain itu, storan dalaman 256GB diberi menyediakan ruang simpanan mencukupi untuk pelbagai kegunaan.
Selain Pad Neo, TechLife turut akan memperkenalkan Smart Watch P1, iaitu seutas jam tangan ringan dan sesuai untuk individu yang aktif. Ia hadir dengan paparan AMOLED, reka bentuk yang ringkas, GPS terbina, serta ketahanan air 5ATM untuk menjadikannya pilihan yang praktikal untuk kegunaan harian.

Sementara itu, TechLife Clip-on Earbuds ialah fon telinga nirwayar terbuka. Ia menawarkan pemacu audio 13mm Bass Boost untuk kualiti bunyi yang lebih mendalam, serta masa main balik sehingga 25 jam bagi membolehkan pengguna menikmati muzik sepanjang hari.
Spesifikasi penuh dan harga jualan hanya akan diumumkan selepas pelancaran rasmi pada 22 Mei 2025. Bagi yang berminat, nantikan maklumat lanjut dalam artikel yang akan diterbitkan selepas acara tersebut.