Komen Threads Kini Boleh Disemak Dan Ditapis Pengguna
Amy Maizuraa
Komen kurang menyenangkan boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna dan ciri baharu yang diperkenalkan oleh Threads dilihat sebagai langkah positif untuk mengatasi isu tersebut.
Melaluinya, pengguna kini boleh menyemak dan menentukan komen yang ingin dipaparkan pada setiap hantaran mereka sekali gus memberi lebih kawalan terhadap perbualan dalam aplikasi.

Pengguna boleh mengaktifkan ciri ini melalui ruangan kemas kini hantaran dengan memilih pilihan ‘Review and approve replies’.
Ia merupakan tambahan kepada tetapan sedia ada ‘Who can reply’ yang merangkumi pilihan seperti Anyone, Your Followers, Profiles You Follow, dan Profiles You Mentioned.
Dengan adanya ciri ini, pengguna dapat mengawal perbualan dengan lebih teratur serta mewujudkan suasana yang positif tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Walaupun tiada penunjuk terbuka bagi balasan yang belum disemak, pengirim komen akan menerima notifikasi bahawa komen mereka perlu mendapat kelulusan daripada penulis sebelum dipaparkan. Ini juga bermakna proses semakan berlaku secara senyap tanpa menjejaskan pengalaman pengguna lain.

Threads terus menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan mencatat 150 juta pengguna aktif harian. Selain itu, masa penggunaan aplikasi meningkat sebanyak 10% sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk pengguna berhubung secara aktif.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






