Toyota Perlihatkan Kereta Mini Mewah Lexus dan Pod Swapandu Untuk Kanak-Kanak
Effi Saharudin
Selain memperlihatkan kenderaan konsep Corolla EV, Toyota turut mengambil kesempatan di acara Japan Mobility Show untuk memperlihatkan kereta kompak mewah Lexus dan pod swapandu untuk kanak-kanak.

Lexus LS Micro Concept ialah sebuah kenderaan persendirian yang boleh membawa satu penumpang dalam suasana mewah. Penumpang masuk ke dalam pod dengan kerusi seakan singgahsana. LS Micro akan dipandu ke lokasi yang dikehendaki secara automatik. Dengan rekaannya yang kecil, ia boleh bergerak dalam kawasan bandar yang tidak mahu dilalui oleh kenderaan biasa.

Ini juga dibantu oleh konfigurasi tiga tayar yang digunakan. Di dalam kabin, cermin hadapan mempunyai skrin sesentuh yang menunjukkan pelbagai maklumat pemanduan dan kawalan kabin. Kerana ia sekadar konsep, tiada maklumat mengenai bateri, jarak perjalanan dan kelajuan maksimum.

Seterusnya ialah Toyota Kids Mobile yang adalah LS Micro Concept untuk kanak-kanak. Saiznya kecil dengan kabin mempunyai pelapik yang memastikan keselesaan penumpang kanak-kanak. Sistem AI akan membawa penumpang ke destinasi ke sekolah atau pulang ke rumah. Pembantu maya UX Friend akan menawarkan hiburan kepada penumpang sepanjang perjalanan.

Sekali lagi Toyota Kids Mobile hanyalah sebuah konsep tanpa spesifikasi mengenai jarak perjalanan atau bilakah ia akan ditawarkan sebagai kenderaan mobiliti kegunaan kanak-kanak di masa hadapan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






