Tahukah anda bahawa pada tahun 2024, seramai satu juta pelancong dari India telah melawat Malaysia, dan rata-rata telah membelanjakan sebanyak RM6.11 bilion di negara ini, yang merupakan peningkatan sebanyak 71.7 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.
Oleh kerana ini, gerbang pembayaran digital Razerpay Curlec baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani satu perjanjian dengan NPCI International Payments Limited di acara Global Fintech Fest 2025 di India untuk membawa sokongan platform pembayaran digital United Payments Interface (UPI) dari negara tersebut ke sini untuk memudahkan pembayaran nirtunia oleh mereka yang dari negara tersebut.

Melalui kerjasama ini, pelawat atau pelancong dari India boleh membayar sebarang pembelian menggunakan aplikasi yang menyokong UPI kepada pedagang Malaysia. Pembayaran akan disahkan melalui platform Razorpay Curlec dan pembayaran akan dilakukan dalam matawang Ringgit Malaysia tanpa memerlukan kad antarabangsa atau integrasi tambahan.

Secara ringkasnya, UPI merupakan platform pembayaran digital di India yang menyerupai platform pembayaran DuitNow yang digunakan di Malaysia. Dengan perjanjian ini, ia akan lebih mudah untuk para pelancong dari India untuk membuat pembayaran di pelbagai lokasi percutian di Malaysia.
Dengan ini, ia juga memperlihatkan Malaysia sebagai destinasi yang menyokong pelbagai jenis perkhidmatan pembayaran digital global, sejajar dengan pelan sidang kemuncak ASEAN 2025 untuk peningkatan sokongan pembayaran digital serantau dan secara global.






