AMD Akan Membina Superkomputer Discovery dan Lux Untuk Kajian Nuklear Serta Kanser
Effi Saharudin
Superkomputer paling berkuasa dunia pada ketika ini ialah El Capitan dengan kelajuan memproses mencecah 1.72 ExaFlop/s. Ia telah digunakan untuk meramal tsunami dalam masa 0.2 saat bagi memberikan ramalan awal kawasan terjejas. Ia adalah hasil kerjasama AMD, HPE dan Lawrence Livermore National Laboratory.
Hari ini AMD, HPE, Oak Ridge National Laboratory dan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (DOE) mengumumkan pembinaan superkomputer Discovery dan Lux yang akan meningkatkan kemampuan komputer berprestasi tinggi Amerika Syarikat bagi tujuan kajian sains.

Discovery dibina berasaskan sistem HPE Cray Supercomputing GX5000 yang dibangunkan khusus untuk era superkomputer kecerdasan buatan (AI) dengan ia menggunakan cip AMD EPYC dengan nama kod Venice dan GPU AMD Instinct MI430X GPUs.
Apabila mula beroperasi pada tahun 2029, Discovery akan digunakan untuk mengkaji penghasilan tenaga nuklear lebih selamat, murah dan mudah diakses oleh semua. Sistem AI pula boleh menghasilkan kembar digital bagi merawat pelbagai penyakit seperti kanser. Dalam dunia aeroangkasa pula, Discovery boleh memendekkan masa menghasilkan rekaan pesawat yang jimat menggunakan bahan api.

Lux pula ialah kluster AI yang dibangunkan untuk menyelesaikan masalah seperti pelakuran nuklear, pembelahan nuklear, sains bahan dan pelbagai lagi kajian saintifik di bawah DOE. Ia dilengkapi GPU AMD Instinct MI355X dan CPU AMD EPYC. Superkomputer ini akan mula beroperasi pada tahun 2026.
Superkomputer Discovery dan Lux akan menelan belanja $1 billion (~RM 4.2 bilion) untuk dibina.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






