UiTM Lancar Nanosatelit Kedua UiTMSAT-2 Ke Angkasa Lepas
Amy Maizuraa
Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mengukir nama di persada angkasa apabila berjaya menghantar nanosatelit keduanya UiTMSAT-2, ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Pelancaran ini telah dilaksanakan melalui misi HTV-X1 yang menggunakan roket H3 F7 dari Tanegashima Space Center, Jepun, dan berlepas tepat pada jam 8 pagi (waktu tempatan) pada 26 Oktober 2025.

Menariknya, UiTMSAT-2 telah direka bentuk dan dibangunkan sepenuhnya oleh sebuah universiti dari rantau ASEAN. Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai peneraju serantau dalam bidang teknologi angkasa, malah turut memperkukuh peranan Malaysia dalam kerjasama global dan pembangunan keupayaan teknikal di peringkat antarabangsa.

UiTMSAT-2 ialah satelit jenis CubeSat 1U bersaiz 10×10×11.35 cm dan seberat 1.1 kilogram. Ia dilengkapi dengan kamera beresolusi tinggi serta sistem komunikasi berasaskan Internet Benda (IoT) melalui satelit. Antara objektif utama misi ini termasuklah pemerhatian bumi dan penggunaan teknologi IoT berasaskan angkasa untuk pertanian pintar serta pengurusan bencana.
Selain itu, satelit ini turut menyokong fungsi simpan dan hantar bagi penghantaran data dari kawasan terpencil. Misi ini juga dirangka untuk meluaskan penglibatan serantau melalui latihan dan pembangunan kapasiti pelajar serta penyelidik dari negara-negara ASEAN dalam bidang teknologi angkasa.

Memetik kenyataan rasmi UiTM, kenderaan pelancar HTV-X1 dijangka akan berlabuh di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dalam tempoh 48 hingga 72 jam selepas pelancaran. Seterusnya, proses pelepasan UiTMSAT-2 dari modul JEM Small Satellite Orbital Deployer (J-SSOD) dijadualkan berlangsung pada Q1 2026.
Turut difahamkan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyalurkan dana sebanyak RM500,000, diikuti dengan tambahan RM20,000 daripada Dana Perkongsian Penyelidikan Strategik (SRP) UiTM. Selain itu, Filipina turut menyumbang sebanyak USD40,000, manakala Thailand menyokong projek ini melalui sumbangan peralatan dan kepakaran teknikal.

Untuk rekod, satelit pertama yang dibangunkan oleh UiTM telah dilancarkan pada tahun 2018 dari Cape Canaveral, Florida sekaligus menandakan permulaan penglibatan aktif universiti berkenaan dalam misi angkasa lepas.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






