Robot Menyusun Stok Barangan Kedai Serbaneka Jepun Dikawal Pekerja Di Filipina
Effi Saharudin
Tiga tahun lalu kami laporkan kedai serbaneka Family Mart di Jepun mula menggunakan robot untuk menyusun stok barangan. Robot RX SCARA yang dibangunkan firma Telexistence dikawal oleh manusia menggunakan sistem tele-operasi. Mungkin ramai menyangka pekerja yang diambil adalah warga Jepun, tetapi menurut laporan Rest of The World, robot-robot ini dikawal pekerja yang tinggal di Manila, Filipina.
Perkhidmatan pengawal robot ditawarkan oleh firma Astro Robotics di Filipina. Setiap operator manusia bertanggungjawab mengawal sehingga 50 robot pada satu-satu ketika. Secara lazimnya robot beroperasi tanpa campur tangan manusia. Tetapi apabila ia melakukan kesilapan, manusia akan mengambil alih tugas mengutip barangan yang terjatuh daripada lantai. Sistem automatik masih belum mampu melakukan tugas ini sebaik manusia yang dilengkapi set kepala VR.

Pekerja diambil daripada Filipina kerana kos yang lebih rendah berbanding menggaji pekerja Jepun. Telexistence pernah mengiklankan gaji asas 1,450 Yen (~RM50) sejam dengan mereka yang perlu bekerja empat hari seminggu dengan syif selama 9 jam sehari. Ia meningkat ke 1800 Yen (~RM62) sejam sekiranya bertugas pada syif malam. Gaji bulanan adalah sekitar 208,800 Yen (~RM 5840) tetapi dengan menggunakan pekerja Filipina, mereka hanya perlu membayar $315 (~RM 1331) sebulan.
Penggunaan robot di Jepun dipertingkatkan kerana sukar mendapat tenaga kerja kerana gaji yang ditawarkan kurang menarik. Lebih serius buat Jepun ialah kekurangan tenaga kerja kerja muda kerana kadar kelahiran yang merosot dan keengganan kerajaan membuka pintu kepada pekerja migran dalam jumlah yang diperlukan.
Selain robot, Jepun juga ingin membina Autoflow-Road yang merupakan rangkaian tali sawat sepanjang 500 km yang menyambungkan Tokyo dan Osaka. Kargo sehingga 1 tan boleh dibawa oleh Autoflow-Road bagi menggantikan lori. Ia bakal beroperasi 24 jam sehari dan boleh menggantikan tugas lebih 25,000 pemandu lori manusia.
.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






