Malaysia Oversight

Isu Jenayah Pelajar Sekolah – Yang Diperlukan Ialah Kawalan Ibu Bapa, Bukan Pemantaun Kerajaan

By Amanz in October 18, 2025 – Reading time 4 minute
Nepal Menarik Semula Halangan Media Sosial Selepas Rakyat Merusuh


Isu Jenayah Pelajar Sekolah – Yang Diperlukan Ialah Kawalan Ibu Bapa, Bukan Pemantaun

October 18, 2025
Aplikasi

Effi Saharudin

Media sosial Malaysia berdentum dan merah menyala disebabkan isu hangat kerana dua insiden besar yang melibatkan pelajar sekolah. Bara api mula menyala selepas kes Zara Qairina Mahathir menjadi pergerakan besar-besaran dan kemudian ditiup pula oleh kes pelajar 10 tahun ditemukan tergantung di Senawang, Negeri Sembilan. Kes rogol dan tikam sehingga menyebabkan kematian yang berlaku dalam masa dua minggu ini adalah minyak api yang kini membuatkan isu ini tidak lagi boleh disapu ke bawah permaidani.

Ahli politik, pakar bidang, pempengaruh dan semua organisma berasaskan karbon dengan kawasan Wernicke di lobus temporal kiri berkongsi penyelesaian peribadi bagaimana isu ini dapat diselesaikan. Secara majoriti ramai menyalahkan pengaruh media sosial kenapa anak-anak di sekolah kini “rosak dan musnah”. Ramai juga yang saya lihat ingin hukuman rotan dikembalikan dengan alasan “masa saya sekolah dulu” tanpa sekelumit dalil naqli waima aqli ianya berkesan menyelesaikan isu disiplin semasa mereka

Media Sosial

menerusi Kementerian Komunikasi lebih ke hadapan dengan cadangan menguatkuasakan penggunaan eKYC untuk log masuk ke akaun media sosial. Syarikat media sosial pula akan diwajibkan memastikan pengguna bawah 13 tahun tidak mempunyai akaun media sosial.

Izinkan saya menggunakan platform saya yang tidak begitu besar ini untuk mengatakan ini ialah langkah yang amat mencurigakan. Mengapa sebelum sempat sebab kedua-dua insiden in berlaku disahkan oleh pihak Polis, sepantas kilat ingin menguatkuasakan sistem yang boleh digunakan untuk pemantauan pengguna sepanjang masa? Mengapa ingin menormalisasikan sistem yang hanya lima tahun dilabel drakonian kerana ia digunakan di negara seperti , Korea Utara dan Vietnam.

Saya mungkin dalam kalangan minoriti yang merasakan tanggungjawab memantau penggunaan peranti elektronik dan internet sepatutnya di tangan ibu bapa. Semasa saya membesar di dekad 80an dan 90an dahulu, tidak ada rang undang-undang menghalang saya daripada bermain Mortal Kombat, menonton VCR dengan kandungan yang tidak ditapis atau melayari laman web udang harimau.

Kedua-dua orang tua memantau sesi permainan video. Saya main Sega Megadrive di TV hadapan dan baba duduk di belakang sambil membaca Harakah. Kalau baba tak ada, arwah mama ambil alih tugas duduk di belakang memantau sambil menjahit. PC di rumah pula sentiasa di ruang tamu bersebelahan telefon (kerana kabel telefoni modem 56K pendek!). Tidak ada masa saya boleh menggunakan internet tanpa mata baba mama sentiasa melihat apa yang dilakukan seakan Sauron memantau Frodo

PC komputer meja
Baap memantau aktiviti anak – Gambar hiasan

Ibu bapa moden seharusnya lebih cakna dengan risiko penggunaan peranti tanpa had. TV, konsol permainan video dan komputer dengan internet kini di dalam tangan anak. Bukan lagi statik ruang tamu seperti zaman kita membesar dahulu.

Anda boleh mengaku tidak ada masa untuk memantau aktiviti anak di rumah kerana anda sendiri dicandu oleh telefon pintar di tangan. Tak perlu malu dan enggan mengaku. Saya sendiri angkat tangan sekarang mengaku bersalah lalai di rumah kerana ketagihan dengan Reddit dan Twitter.

Kerana menyedari kelemahan ini, saya gunakan teknologi sedia ada untuk melakukan pemantauan aktiviti anak saya. Telefon pintar Android milik beliau dipasang dengan Google Family Link. Menerusi Family Link saya tetapkan aplikasi yang boleh dipasang, melihat had waktu penggunaan aplikasi, tapisan laman web yang boleh dilawati, melihat statistik penggunaan mingguan dan menjejak lokasi anak sepanjang masa.

google family link baharu 2025 2
Google Family Link

Anak saya tiada langsung akaun media sosial kerana Gen Alpha melihat media sosial sebagai “platform mommy daddy” yang langsung tidak menarik. Dia bermain Roblox dengan semua tetapan pemesejan telah saya matikan bagi mengelakkan berhubung dengan orang yang tidak dikenali. Berita budak 14 tahun melarikan diri dengan teman lelaki 47 tahun yang dikenali dalam permainan video adalah sangat menakutkan.

Jika telefon dibawa ke sekolah untuk aktiviti kokurikulum atau kelas tambahan, saya aktifkan pula aplikasi apa yang boleh dibuka di perkarangan sekolah menerusi ciri geofence terbina. Roblox, Chrome dan YouTube langsung tak boleh dibuka dalam perkarangan sekolah.

Semua teknologi yang saya sebutkan ini bukannya baharu dan telahpun saya sentuh ketika pandemik tempoh hari selepas ada mak bapak merungut anak melekat pada tablet kerana pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Saya cuma agak terkejut selepas melakukan pungutan suara rambang di X beberapa tahun lalu, majoriti ibu bapa tidak menggunakan sebarang aplikasi pemantauan seperti Family Link pada peranti anak-anak. Jadi bagaimanakah anda kawal aktiviti anak? Jika anda menggunakan teknik Sauron yang saya nyatakan di atas anda memang hebat.

Hacking Team 2

Maka tolonglah lakukan sandaran telefon Android dan iOS anak anda hari ini. Lepas sandaran lengkap sila lakukan tetapan semula dan pasang Google Family Link atau Screen Time (jika keluarga anda menggunakan ekosistem sepenuhnya). Proses ini hanya mengambil masa 10 minit sahaja. Letakkan pelbagai tapisan, halangan dan kawalan yang anda rasakan wajar untuk anak anda.

Kuasa di hujung jari anda. Gunakan kuasa ini selagi ia masih di dalam genggaman. Jangan subcon tugas memantau, membesarkan, mendidik dan mempedulikan aktiviti anak kepada kerajaan. Anda tidak mahu hidup dalam sebuah Nanny State di mana kerajaan mengawal semua faset kehidupan daripada lahir sehingga ke lahad. Jangan gadaikan kebebasan peribadi anda dan generasi seterusnya hanya kerana anda malas menjaga anak.

Komen

Sila log masuk untuk menghantar komen.



Source link