Helikopter Black Hawk Diubahsuai Menjadi Dron Kargo U-Hawk
Effi Saharudin
Helikopter Sikorsky Black Hawk dikenali ramai kerana insiden yang berlaku di Somalia 1993 yang menyebabkan seorang anggota MALBATT terkorban ketika cuba menyelamatkan krew yang terhempas. Baru-baru ini Black Hawk sekali lagi menjadi bualan ramai selepas kontrak menyewa helikopter ini oleh ATM dibatalkan oleh YDPA.

Ia mula digunakan tentera Amerika Syarikat sejak 1979 dan selepas lebih 45 tahun ia kini akhirnya ditawarkan dalam versi dron kargo yang tidak memerlukan krew manusia menerbangkannya. Sikorsky S-70UAS U-Hawk ialah varian terkini diperlihatkan semalam dengan ia boleh membawa kargo sehingga 4,080 kg dan terbang selama 14 jam secara berterusan.

U-Hawk dikawal menggunakan tablet oleh krew manusia secara jarak jauh. Bahagian muncung helikopter yang dahulunya menempatkan dua krew kini diubah menjadi pintu kargo jenis cangkerang yang dibuka ke tepi lengkap dengan tanjakan terbina. Ruangan kargo U-Hawk kini 25% lebih besar berbanding Black Hawk.

Selain boleh membawa kargo dalam bentuk keperluan di lapangan, ia turut boleh digunakan untuk melancarkan dron beroda UGV dan dron puluhan lebih kecil menerusi pintu sisi dengan U-Hawk beroperasi sebagai helikopter induk. Senjata seperti HIMARS dan roket juga boleh diletakkan pada pod sisi membolehkan ia beroperasi sebagai helikopter tempur jika diperlukan.
Sikorsky mengatakan S-70UAS U-Hawk boleh memulakan operasi seawal 2026. Pembangunan sistem dron dipertingkat di bawah pentadbiran Trump selepas melihat keberkesanannya di mean perang Ukraine dan melihat kemajuan sistem dron China yang jauh di hadapan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






