Serangan siber dan insiden yang menyebabkan lapangan terbang terkandas bukanlah suatu insiden dan fenomena yang asing. Terkini, sebuah serangan siber yang dilakukan keatas Collins Aerospace, sebuah syarikat pembangun teknologi penerbangan telah digodam dan menyebabkan sejumlah lapangan terbang di Eropah terkandas.
Serangan keatas beberapa sistem bantuan check-in awanan syarikat tersebut yang dinamakan cMUSE telah menyebabkan kiosk check-in sejumlah lapangan terbang di Eropah seperti London Heathrow, Berlin Brandenburg, Brussels Zaventem dan banyak lagi lapangan terbang lain tergendala, dan memaksa banyak penerbangan untuk terpaksa dibatalkan ataupun ditunda selama beberapa jam.

Lapangan Terbang London Heathrow mengatakan bahawa mereka memproses semua tiket pelanggan secara manual, manakala Lapangan Terbang Berlin-Brandenburg menutup kiosk check-in dan memproses tiket pelanggan di kaunter dengan sistem tertutup sendiri.
Menurut beberapa laporan, selain daripada sistem check-in perisian cMUSE ini juga digunakan untuk sistem imbasan biometrik dan juga sistem mencetak tag bagasi penumpang. Sistem ini juga boleh diimplimentasi secara awanan ataupun secara tempatan, tetapi banyak lapangan terbang memilih sistem awanan kerana ia memudahkan integrasi diantara perkhidmatan penerbangan.
Pihak Collins Aerospace tidak mengesahkan apakah jenis serangan siber yang dikenakan keatas mereka, tetapi sistem tersebut juga dilaporkan sudah pulih, jadi kebarangkalian bahawa ia adalah serangan siber menggunakan perisian tebusan adalah rendah.
Sistem tersebut sudahpun mula pulih secara berkala sekitar hari Ahad lepas, dan kebanyakan penerbangan dilaporkan telah berlepas pada masa yang ditetapkan.