Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini telah mengesahkan bahawa subsidi bersasar petrol RON95, yang dinamakan BUDI95 akan diperkenalkan pada penghujung bulan ini, 30 September 2025. Harga petrol RON95 akan ditetapkan pada harga siling RM1.99, dimana beliau turut memberikan sedikit gambaran tentang bagaimana subsidi ini akan diimplimentasi.
Pertama ialah subsidi bersasar BUDI95 ini akan boleh dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia dengan lesen memandu kereta dan motosikal yang sah, dan akan ditetapkan pada harga RM1.99, yang mana ia boleh digunapakai untuk mengisi sebanyak 300 liter setiap bulan.

Sekiranya jumlah petrol yang diisi melebihi had tersebut, pemilik kenderaan akan perlu membayar harga pasaran semasa untuknya. Ia juga disahkan bahawa had 300 liter ini tidak akan dibawa ke bulan hadapan, dan akan diset-semula setiap bulan.
Tanpa subsidi bersasar ini, harga pasaran petrol RON95 akan diapungkan pada nilai RM2.60, ataupun harga pasaran semasa, manakala harga petrol RON97 juga akan kekal pada harga pasaran semasa, iaitu RM3.21. Ini juga adalah harga yang akan perlu dibayar oleh kenderaan-kenderaan luar negara yang masuk ke Malaysia dan mahu mengisi petrol.
Rakyat Malaysia juga tidak perlu mendaftar apa-apa butiran kerana proses pengesahan subsidi ini menggunakan butiran pada kad pengenalan MyKad sedia ada yang mana ia akan disahkan melalui terminal didalam kedai di stesen petrol dan juga di terminal pam minyak yang akan diimplimentasi dalam masa terdekat ini.
Dalam pada itu, para pengguna dompet digital seperti Touch’n’Go dan aplikasi stesen petrol seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo juga akan menerima kemaskini untuk membolehkan membuat pembayaran petrol dengan subsidi ini secara terbina kelak.

Pihak kerajaan juga mengatakan bahawa mereka akan memperkenalkan program BUDI95 ini kepada dua kumpulan beberapa hari sebelum pelancaran rasmi. Pada 27 September, program subsidi BUDI95 ini akan diperkenalkan kepada pihak polis dan tentera terlebih dahulu. Manakala pada 28 September pula, program ini akan diperkenalkan kepada mereka yang berada di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah sedia ada.
Kemudian pada 30 September 2025, program BUDI95 ini akan diperkenalkan kepada kira-kira 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun keatas yang memiliki kad pengenalan MyKad dan juga lesen memandu yang sah.