Oppo Watch S Boleh Dibeli Di Malaysia Bermula Harga RM799
Amy Maizuraa
Oppo Watch S turut diperkenalkan secara rasmi di Malaysia hari ini bersama siri Reno15. Ia sesuai untuk mereka yang gemar beriadah sambil mahukan seutas jam tangan bergaya.

Oppo Watch S ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Phantom Black dan Silver Gleam, dengan reka bentuk premium menggunakan rangka stainless steel serta pilihan tali fluororubber hitam atau tenunan tiga warna. Ia sesuai untuk saiz pergelangan tangan antara 140 – 210 mm.



Dari segi paparan, jam tangan ini dilengkapi skrin 1.46 inci AMOLED beresolusi 464 × 464 piksel manakala tahap kecerahan boleh mencapai 3000 nits melalui mod khas bagi kegunaan di bawah cahaya matahari. Bateri berkapasiti 339mAh disediakan pula mampu bertahan sehingga 10 hari dalam mod ringan, 7 hari melalui penggunaan biasa dan 4 hari apabila paparan sentiasa aktif.


Jam tangan ini turut dikuasai oleh cip BES2800BP bersama storan 4GB EMMC. Ia diikuti dengan pelbagai fungsi kesihatan seperti pemantauan tidur, pemantauan kadar denyutan jantung dengan amaran, pengesanan oksigen darah, suhu pergelangan tangan, fungsi pengesan jatuh serta penjejak kitaran haid.

Selain itu, ia menyokong lebih daripada 100 mod sukan dengan analisis profesional untuk aktiviti seperti larian, tenis, badminton, berenang, berbasikal dan mendaki. Dalam masa sama, ia boleh mengenal pasti secara automatik enam jenis aktiviti termasuk larian dan berenang, sambil menyediakan panduan jurulatih dengan analisis peribadi bagi meningkatkan prestasi senaman pengguna.

Akhir sekali, Oppo Watch S hadir dengan penarafan 5ATM dan IP68 serta menjalankan sistem operasi ColorOS Watch 7.1. Bagi yang berminat, Oppo Watch S ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM799 hingga RM899.






