Huawei MatePad 11.5 (2026) Dilancarkan – Skrin 120Hz Dan Bateri 10,100mAh
Amy Maizuraa
Huawei MatePad 11.5 (2026) dilancarkan di China bersama-sama dengan siri Huawei Nova 15. Secara keseluruhan, tablet ini mengekalkan perkakasan dalaman yang sama seperti MatePad 11.5 (2025) sekali gus menunjukkan kesinambungan rekaan dan spesifikasi daripada model sebelumnya.

Tablet ini hadir dengan skrin 11.5″ TFT LCD (2456 x 1600 piksel), kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 600 nits serta nisbah skrin-ke-badan 86%. Bagi versi standard, MatePad 11.5 (2026) dilengkapi dengan cip Kirin T82B manakala ‘Soft Light Edition’ menggunakan cip Kirin T82. Tablet ini juga dilengkapi kamera utama 13MP dan swafoto 8MP. Selain daripada itu, ia menyokong sambungan Wi-Fi, bluetooth 5.2 dan USB-C.

Tablet ini turut hadir dengan sistem empat pembesar suara dan dua mikrofon untuk pengalaman bunyi yang lebih jelas. Dari segi bateri, ia menggunakan kapasiti 10100mAh dengan pengecasan pantas 40W. Sebagai tambahan, tablet ini juga menyokong Huawei M-Pencil stylus sekali gus menjadikannya lebih sesuai untuk tujuan produktiviti.






