Apple Membenarkan Stor Aplikasi Alternatif dan Akses Butang Sisi Di Jepun
Effi Saharudin
Jepun menjadi pasaran kedua selepas Kesatuan Eropah (EU) yang menerima sokongan stor aplikasi pihak ketiga pada peranti Apple. Bagi memenuhi keperluan Akta Persaingan Perisian Mudah Alih (MSCA) Jepun yang diluluskan tahun lalu, stor aplikasi kini ditawarkan kepada penduduk Jepun dengan akta ini dilihat sebagai sama dengan Akta Pasaran Digital (DMA) di EU.

Pilihan melakukan pembayaran di luar ekosistem App Store turut boleh dilakukan dengan pilihan baharu menerusi pihak ketiga atau daripada laman web pembangun aplikasi. Apple masih akan mengambil potongan daripada setiap transaksi dengan ia adalah antara 5-26% bergantung kepada platform yang dipilih pengguna.
Selain membenarkan stor aplikasi pihak ketiga diakses pengguna Jepun, Apple juga membuka akses kepada butang kawalan sisi yang selama ini hanya boleh digunakan untuk menyeru Siri. Di Jepun pengguna boleh menggunakan butang yang sama untuk menyeru pembantu maya pesaing seperti ChatGPT.
Pengguna Jepun turut boleh mengubah pelayar web lalai, enjin carian lalai dan aplikasi navigasi pilihan pada peranti Apple milik mereka bermula hari ini. MSCA berkuat kuasa bermula hari ini selepas Apple didenda oleh Jepun kerana amalan perniagaan mereka yang didapati tidak adil kepada pengguna tempatan.






