Samsung Membina Reaktor Nuklear Modular Terapung
Effi Saharudin
Stigma penggunaan reaktor nuklear bagi menjana kuasa elektrik berkurangan sedikit tahun ini selepas ia dilihat sebagai “sumber tenaga bersih” apabila dibandingkan dengan pembakaran bahan api fosil. Dengan semakin banyak pusat data dibina, Selangor sendiri mempunyai perancangan membina reaktor nuklear bagi memenuhi keperluan tenaga.

Minggu ini Samsung Heavy Industries menerima kelulusan awal daripada Biro Perkapalan Amerika (ABS) untuk membina reaktor nuklear modular untuk digunakan dalam kapal sebagai stesen janakuasa terapung. Samsung bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Tenaga Atom Korea (KAERI) untuk membangunkan reaktor kecil modular terapung (FSMR) dengan rekaan reaktor SMART100 (System-integrated Modular Advanced Reactor 100) dijadikan sebagai asas rekaan.
SMART100 menghasilkan output termal sehingga 365 MW dengan janaan kuasa elektrik pula sehingga 110 MW. Menerusi rekaan modular FSMR, reaktor boleh direka dan diuji secara berasingan di luar kapal sebelum modul dimasukkan di peringkat akhir. FSMR mempunyai jangka hayat 60 tahun dengan bahan api perlu diganti setiap 3 tahun.






