Siri Realme 16 Pro Menampilkan Rekaan Eksklusif Naoto Fukasawa
Amy Maizuraa
Realme sekali lagi menjalin kerjasama dengan Naoto Fukasawa iaitu pereka terkenal dari Jepun selepas kolaborasi terdahulu pada model Realme GT 2 Pro. Perkara ini disahkan melalui beberapa ciapan terkini yang dimuat naik oleh Realme di platform X.

Model Realme 16 Pro bakal ditawarkan dalam dua pilihan warna eksklusif iaitu Master Gold dengan kemasan seakan emas dan Master Black dengan warna hitam elegan. Reka bentuk ini menampilkan sentuhan khas Fukasawa yang menekankan gaya minimalis serta penampilan premium yang kemas.

Rekaan yang diperlihatkan bagi Realme 16 Pro menampilkan kemasan bertekstur yang menyerupai kulit tiruan. Bahagian belakang peranti turut diubah suai dengan bonggol kamera berbentuk segi empat sama, yang pada pandangan pertama kelihatan mirip dengan Oppo Reno14 dan OnePlus 15. Namun, ia masih mempunyai perbezaan tersendiri dari segi kemasan serta kedudukannya.

Realme masih mengekalkan profil tubuh melengkung yang dipercayai bertujuan menjadikan peranti lebih nipis dan selesa digenggam. Imej promosi dikongsikan turut menonjolkan betapa nipisnya keseluruhan tubuh peranti termasuk bonggol kamera yang direka rata tanpa timbul. Maklumat lebih lanjut mengenai perkakasan dalaman tentunya dikongsikan Realme dari masa ke semasa.






