AMD Dan NVIDIA Belum Disenaraikan Sebagai Pembekal Kelengkapan Pusat Data AI Yang Dibenarkan Kerajaan China
Nazrin
Baru-baru ini kami telah melaporkan bahawa NVIDIA telah menerima kebenaran untuk menjual cip pemprosesan tugasan AI NVIDIA H200 mereka ke pasaran China oleh kerajaan Amerika Syarikat dengan beberapa syarat tertentu.
Terkini, kerajaan China telah memperkenalkan sebuah senarai baru yang mengesahkan syarikat-syarikat yang dibenarkan untuk membekalkan kelengkapan pusat data AI di China, khususnya untuk projek-projek kerajaan negara tersebut.
Menurut senarai ini, hanya dua syarikat pembekal komponen cip pemprosesan AI yang dibenarkan untuk berurusan dengan kerajaan China, iaitu Cambricon dan juga Huawei. Penawaran dari syarikat-syarikat pengeluar komponen AI dari luar negara, khususnya AMD dan NVIDIA dilihat tidak dibenarkan untuk digunakan buat masa ini.

Ini juga bukanlah sesuatu yang baru. Sejak perang tarif dan perdagangan dimulakan diantara Amerika Syarikat dan China beberapa tahun yang lalu, kerajaan China telah memulakan proses untuk membangunkan teknologi-teknologi mereka sendiri, khususnya dalam arena semikonduktor dan AI.
Dimana syarikat pengeluar cip semikonduktor China, SMIC telah mula memperlihatkan kemajuan dalam sektor pengeluaran cip semikonduktor, Cambricon dan Huawei juga dilihat telah mula merekacipta cip semikonduktor yang semakin cepat mengejar penawaran-penawaran oleh AMD dan NVIDIA.
Syarikat-syarikat sektor swasta di China dilihat masih lagi menggunakan penawaran dari NVIDIA khususnya atas beberapa faktor seperti kuasa pemprosesan yang ditawarkan cip AI NVIDIA masih lebih berkuasa berbanding penawaran syarikat-syarikat tempatan, dan mereka dilihat bersaing dengan penawaran pasaran global sedia ada, khususnya Tencent dan Alibaba.
Ini bukanlah mengatakan bahawa tiada kelebihan untuk syarikat-syarikat China menggunakan penawaran tempatan. Kelak, ia dijangka bahawa komponen pemprosesan AI dari negara tersebut dilihat boleh bersaing dengan AMD dan NVIDIA, dan sekiranya ia boleh ditawarkan dengan harga lebih mampu-milik, semakin banyak syarikat akan berpaling-tadah untuk mengurangkan kos pembangunan sistem AI baru.
Kerajaan China juga dilihat memberi sejumlah insentif kepada pengendali perkhidmatan awanan di China, seperti potongan separuh harga kepada jumlah bekalan elektrik yang digunakan jika mereka berhijrah ke menggunakan komponen-komponen syarikat tempatan.
Ini bukanlah untuk mengatakan bahawa AMD dan NVIDIA akan diharamkan sepenuhnya di China, tetapi pengurangan permintaan dari pasaran China ialah sesuatu yang pastinya akan memberi kesan kepada penjualan dan keuntungan syarikat-syarikat dari Amerika ini.






