Alibaba Cloud Digunakan Oleh Ryt Bank Dan Pro-NET Bagi Memperkasa Tindanan AI Mereka
Ikhwan Nazri
Alibaba Cloud merupakan penyedia perkhidmatan awan yang juga memperkasa pelbagai sistem dan perkhidmatan di Malaysia, salah satunya yang dikenali ramai adalah Touch ‘n Go. Hari ini Alibaba Cloud mengumumkan kerjasama dengan Ryt Bank dan Pro-NET bagi memperkasa tindanan AI (AI-stack) mereka.

Menerusi kerjasama ini, Ryt Bank menggunakan teknologi AI Alibaba Cloud dalam menyediakan perbankan digital buat pengguna. Menerusinya, permohonan akaun dapat disiapkan sepantas dua minit serta turut mematuhi syarat yang ditetapkan Bank Negara Malaysia. Ini ditambah lagi dengan kestabilan dan kemampanan sistem awan yang menyediakan perkhidmatan perbankan sepanjang masa, sambil memastikan sekuriti berada di tahap yang tertinggi.


Kerjasama antara PRO-Net dan Alibaba Cloud pula melibatkan perkembangan platform EV yang berada di bawah tanggungjawab PRO-Net sebagai anak syarikat Proton yang memfokuskan kepada penawaran kenderaan tenaga baharu. Sistem Alibaba Cloud turut digunakan dalam menganalisa corak penggunaan, meramal dan menganalisa, serta akan menggunakan Qwen dan platform AI mereka terus pada sistem inforia kereta Proton pada masa hadapan. 88

Alibaba Cloud turut menekankan betapa pentingnya Malaysia dalam pasaran mereka, malah Malaysia juga merupakan pusat sokongan AI pertama mereka di luar China. Selain dari Ryt Bank, Pro-NET dan juga Touch ‘N Go, Alibaba Cloud turut menguasakan teknologi AI di beberapa syarikat tempatan lain dan juga turut mempunyai Cloud Region di Malaysia.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






