Malaysia Oversight

Pegawai imigresen didakwa 11 pertuduhan guna kedudukan peroleh suapan

By MkiniBM in November 14, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas 11 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan bagi dirinya berhubung permohonan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) melibatkan tiga syarikat milik saudaranya.

Berdasarkan semua pertuduhan itu, Noorhaslenda Zainal Abidin, 45, sebagai Pegawai Imigresen KP22 di Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen, didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi dirinya dengan mengesyorkan kelulusan permohonan RTK bagi syarikat Tok Tuan Enterprise, Tok Tuan 2 Enterprise dan Dyha Scarft.

Syarikat berkenaan adalah milik saudaranya dan tertuduh mempunyai kepentingan terhadap perniagaan tersebut.

Noorhaslenda didakwa melakukan kesalahan itu di Unit RTK Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen, antara Mac hingga November 2023, mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rosli Ahmad kemudian menetapkan 16 Dis untuk sebutan kes dan membenarkan ikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan, selain perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ruzaini Sarif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

– Bernama



Source link