Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan berkata parti itu akan mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) esok bagi membincangkan kemungkinan kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Jeffrey berkata, perbincangan itu adalah sebahagian usaha untuk terus memperkukuh persefahaman antara parti-parti tempatan di Sabah.
“Ya, akan ada perbincangan dengan Upko esok. Sebenarnya kami menunggu mereka hari ini sebelum mengumumkan calon, tetapi memandangkan majlis kami sudah dijadualkan, kami terpaksa teruskan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan senarai calon parti di ibu pejabat Star di Bukit Padang, Kota Kinabalu.
Jeffrey turut menyatakan keyakinan bahawa dia akan menerima maklum balas positif daripada Presiden Upko, Ewon Benedick, yang baru-baru ini menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan parti-parti Sabah yang sehaluan dan berkongsi visi “Sabah Didahulukan”.
“Saya yakin maklum balasnya akan positif,” tambahnya sambil memberi bayangan bahawa rundingan kerjasama itu sedikit sebanyak menyumbang kepada kelewatan pengumuman beberapa calon Star.
Putrajaya tidak konsisten mengenai isu 40 peratus hasil
Dia turut mengulas kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah, yang disifatkannya sebagai tidak konsisten dan bermotif politik.
Dia menjelaskan bahawa kerajaan menyatakan tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkaitan hak hasil tersebut, tetapi pada masa yang sama, AGC akan membuat rayuan terhadap beberapa kenyataan hakim dalam penghakiman itu.
“Saya rasa kenyataan itu hanya dibuat untuk menyedapkan hati rakyat menjelang pilihan raya. Sebab itu saya tidak mempercayainya,” katanya.
Semalam, AGC menyatakan tidak akan merayu keputusan mahkamah berkenaan tuntutan hasil 40 peratus itu dan akan meneruskan perbincangan dengan kerajaan negeri.
Namun, AGC tetap berhasrat merayu terhadap bahagian penghakiman yang menyebut kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam isu tuntutan hasil tersebut.






