PRN SABAH | Rundingan pembahagian kerusi di antara PH dan BN untuk bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah dimuktamadkan dan tidak ada pertembungan buat kedua-dua parti.
Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail berkata rundingan PH dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga hampir selesai sepenuhnya, kecuali yang membabitkan satu kerusi apabila ia masih dalam pertimbangan kedua-dua parti.
“Kami masih ada masa sebelum tarikh penamaan calon pada 15 Nov ini, dan saya yakin ia boleh diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Jelajah Wira Madani di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.
Program itu adalah inisiatif dicetuskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi menzahirkan penghargaan kerajaan kepada pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail, dan Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus.
Program itu turut melibatkan pameran serta penyampaian bantuan awal persekolahan kepada 500 anak anggota polis.
“Kami lihat program ini memberi impak yang baik, jadi insya-Allah ia akan diteruskan dengan lebih menyeluruh pada tahun depan,” katanya.
– Bernama






