Tidak seperti kebanyakan pemimpin PAS yang cuba memberikan gambaran positif daripada keputusan PRK Ayer Kuning di Tapah, Perak baru-baru ini, seorang tokoh parti itu sebaliknya tampil memberi ‘amaran’.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki, berpendapat perolehan undi BN-PH dalam PRK tersebut memberi gambaran bahawa ada kerusi parlimen dan DUN yang kini diwakili PN boleh dirampas.
Dalam catatan di media sosialnya, Mohd Zuhdi berkata, keputusan pengundi yang memenangkan Mohamad Yusri Bakir itu sepatutnya menjadi wake up call kepada PN.
Dalam PRK berkenaan, Mohamad Yusri dipisahkan 5,006 undi berbanding pencabar terdekat, Abdul Muhaimin Malek (PAS-PN). Seorang lagi calon yang bertanding ialah Bawani KS (PSM) yang memperoleh 1,106 undi.
Dalam PRU lalu BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi.
Kata Mohd Zuhdi pertambahan jumlah undi yang diperolehi Mohamad Yusri hasil gabungan undi penyokong BN dan PH adalah signifikan dan boleh menyebabkan kerusi diwakili PN sekarang terlepas ke tangan lawan.
Di salah sebuah pusat daerah mengundi, tambah Mohd Zuhdi, berlaku perubahan yang ketara apabila ada sejumlah besar pengundi Cina memberikan sokongan kepada BN.
Berikut adalah tulisan Mohd Zuhdi yang asalnya disiarkan di Facebook semalam:
PRK AYER KUNING WAKE UP CALL KEPADA PN
PRK Ayer Kuning yang baru berlalu telah menjadi satu petunjuk penting kepada kedua-dua gabungan politik, sama ada PN atau PH-BN.
Tidak dapat dinafikan, kedua-dua gabungan politik cuba menuntut kemenangan masing-masing sama ada kemenangan zahir bagi pihak PH-BN, atau kemenangan moral bagi pihak PN.
Meskipun kemenangan diperolehi oleh PH-BN, perlu disedari bahawa DUN Ayer Kuning sememangnya kubu kuat BN sepertimana juga DUN Nenggiri. Oleh sebab itu, diyakini PH-BN pun tidak memandang enteng petunjuk penting dari PRK tersebut.
Sejak negara merdeka pada 1957, DUN Ayer Kuning dan kawasan Parlimen Tapah bukan sahaja kubu kuat bagi Umno, malah bagi MCA dan MIC.
Ketika BN dipukul badai politik pada PRU ke-15 (2022), BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat dan sembilan kerusi di DUN Perak. Parlimen Tapah menyumbang satu kerusi parlimen dan dua kerusi DUN untuk BN dalam PRU-15 tersebut.

Dengan pengertian lain, BN menyapu bersih semua kerusi di Parlimen Tapah, menunjukkan betapa kawasan itu – termasuk DUN Ayer Kuning – adalah sememangnya kubu kuat bagi BN.
Lebih daripada itu, Parlimen Tapah dan DUN Ayer Kuning bukan setakat kubu kuat BN, tetapi juga adalah benteng terakhir gabungan politik tersebut.
Sekiranya PRU ke-15 menjadi ukuran kekuatan BN, melihat kepada 30 kerusi parlimen dan sembilan kerusi DUN Perak yang masih tinggal, kerusi-kerusi itu bolehlah dianggap benteng terakhir BN.
Jika BN tewas di PRK Ayer Kuning, bermakna parti itu tewas di benteng terakhir mereka. Kekalahan di benteng terakhir bermakna, sebagai gabungan politik, BN boleh hancur dalam PRU akan datang.
Kekalahan PN dalam PRK Ayer Kuning sememangnya boleh dijangka sejak awal lagi. Selain daripada kawasan itu sememangnya kubu kuat BN, demografi DUN Ayer Kuning juga tidak memihak kepada PN.
Dengan komposisi pengundi Melayu sekitar 56 peratus, berdasarkan track record PN dalam PRU ke-15 lalu, memang agak sukar untuk PN mencapai kemenangan. Oleh sebab itu, sasaran untuk mengurangkan jumlah undi yang sepatutnya diperolehi oleh PH-BN (15,963 undi atau 68 peratus undi popular) adalah sesuatu ‘kemenangan’ yang boleh dicapai.
Dalam PRK Ayer Kuning, PN telah berjaya mengurangkan jumlah undi atau peratusan undi popular yang sepatutnya diperolehi oleh gabungan PH-BN.

Gabungan PH-BN hanya mampu memperolehi jumlah undi 11,065, iaitu kurang 4,898 undi – atau hanya 61 peratus undi popular – iaitu kurang 7 peratus daripada yang sepatutnya diperolehi.
Jumlah pengundi keluar berkurangan boleh dijadikan alasan mengapa undi yang sepatutnya diperolehi oleh PH-BN kurang. Bagaimanapun, alasan tersebut tidak boleh menjawab mengapa peratusan undi popular PH-BN tidak mampu mencapai 68 peratus.
Di pihak PN pula, keputusan PRK Ayer Kuning tidak boleh dipandang remeh.
Paling kurang PRK Ayer Kuning menunjukkan gabungan PH-BN boleh menambahkan undi kedua-dua parti gabungan tersebut. Walaupun jumlah gabungan undi yang diperolehi oleh PH dan BN berkurangan daripada yang sepatutnya, pertambahan tetap berlaku.
Pertambahan jumlah undi di pihak PH dan BN, hasil daripada gabungan undi yang telah diperolehi oleh kedua-dua gabungan politik dalam PRU ke-15 adalah cukup signifikan untuk merampas kerusi-kerusi PN.

Dalam PRK Ayer Kuning, ada dua PDM (pusat daerah mengundi) yang menjadi petunjuk bahawa gabungan undi Melayu yang diperolehi oleh PH dan BN dalam PRU ke-15 boleh menggugat kekuatan PN.
Di dalam PRU ke-15, PDM Batu Masjid dimenangi oleh PN dengan 345 undi, manakala BN pula memperolehi 323 undi, dan PH 85 undi.
Dalam PRK baru-baru ini, PN memperolehi 292 undi, BN mendapat 384 undi.
Jumlah undi yang diperolehi oleh BN menunjukkan berlaku penggabungan undi yang diperolehi pada PRU ke-15 oleh PH dan BN.
Demikian juga PDM Tanjung Keramat yang masih dimenangi oleh baru-baru ini.
Semasa PRU ke-15 lalu, PN memperolehi 505 undi, BN mendapat 346 undi dan PH pula 82 undi. Baru-baru ini, PN memperolehi 468 undi, manakala BN memperolehi 380 undi.
Sekali lagi, gabungan undi yang diperolehi oleh BN dan PH dalam PRU ke-15 berlaku semasa PRK Ayer Kuning. Gabungan undi ini diyakini datangnya daripada pengundi-pengundi Melayu yang menyokong PH pada 2022 dulu.

Kedua-dua PDM menunjukkan ada peralihan undi Melayu PH kepada BN di Ayer Kuning. Demikian juga dengan pengundi-pengundi Cina yang mengundi PH. Terdapat peralihan untuk mengundi BN baru-baru ini.
Di PDM Coldstream (majoriti kaum Cina), semasa PRU ke-15, PN memperolehi 9 undi, BN mendapat 188 undi dan PH pula 935.
Apabila PRK dilangsungkan PN memperolehi 23 undi, manakala BN memperolehi 708 undi. Jelas daripada keputusan PRK, berlaku peralihan pengundi Cina kepada BN dengan jumlah agak besar.
Kesimpulan yang boleh dibuat ialah, gabungan undi yang diperolehi PH dan BN memang telah berlaku apabila kedua-dua gabungan politik bergabung di dalam PRK.
PRK Ayer Kuning membuktikan sekali lagi berlaku peralihan pengundi Melayu dan pengundi Cina PH kepada BN dengan jumlah yang signifikan.
Gabungan undi PH dan BN ini berpotensi besar untuk merampas kerusi-kerusi parlimen dan DUN yang telah dimenangi oleh PN di dalam PRU ke-15 lalu.
Gabungan undi PH dan BN seperti yang ditunjukkan di dalam PRK seharusnya menjadi wake up call kepada PN.