PETALING JAYA: Pelumba muda Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie bakal menjadi aset berharga pasukan selepas merangkul gelaran pelumba paling aktif di Jelajah Alula, Arab Saudi, semalam.
Selepas lima hari perlumbaan berstatus UCI ProSeries, kutipan sembilan mata membolehkan Zhe Yie menyarung jersi oren, sekali gus mempamerkan perkembangan positif selepas tiga musim dibentuk dalam struktur pembangunan TSG.
Ketua jurulatih TSG, Saiful Anuar Aziz berkata, pencapaian tersebut membuktikan Zhe Yie sudah mampu memberi impak walaupun masih berada di peringkat awal karier profesionalnya.
“Saya amat berpuas hati melihat Zhe Yie membuktikan bahawa pada usia muda, dia sudah mampu memenangi jersi dalam perlumbaan pada tahap ini.
“Ini adalah tahun pertama dia berlumba di peringkat ProSeries bersama kami yang menampilkan saingan jauh lebih kuat berbanding acara UCI 2.1 atau 2.2,” kata Saiful.
Zhe Yie, yang berasal dari Dungun, Terengganu, sebelum ini melalui proses pembangunan berperingkat dalam TSG sepanjang tiga musim lalu sebelum diberi kepercayaan untuk berlumba di tahap lebih tinggi.
Selain kejayaan Zhe Yie, TSG turut berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan apabila Juan Pedro Lozano menamatkan perlumbaan di tempat keempat pada peringkat terakhir, di sebalik dominasi pasukan WorldTeam sepanjang Jelajah Alula.
Lozano, yang menyertai TSG dari pasukan Caja Rural-Alea musim lalu, hampir menaiki podium pada peringkat terakhir dari Alula Old Town ke Skyviews of Harrat Uwayrid, Sabtu lalu.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi pasukan di sini apabila Juan Pedro Lozano turut menamatkan perlumbaan di tempat keempat pada peringkat terakhir,” katanya.-UTUSAN






