Malaysia Oversight

Zara tidak mungkin jatuh sendiri tanpa memanjat, kata doktor

By MkiniBM in September 3, 2025 – Reading time 3 minute
Zara tidak mungkin jatuh sendiri tanpa memanjat, kata doktor


Pakar patologi utama yang menjalankan bedah siasat ke atas Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa adalah tidak mungkin pelajar itu terjatuh secara tidak sengaja dari tingkat tiga asramanya.

Dr Jessie Hiu berkata pagar koridor asrama setinggi 118cm, manakala ketinggian Zara adalah 154cm, menjadikan penghalang itu lebih tinggi daripada pusat graviti mangsa. Pada pandangannya, ini menjadikan hampir mustahil bagi remaja berusia 13 tahun itu terjatuh tanpa memanjat palang tersebut.

“Berdasarkan ukuran, pada pendapat saya, adalah tidak mungkin si mati terjatuh atau ditolak dari posisi berdiri di sebelah pagar konkrit di sepanjang koridor,” katanya ketika membaca kenyataan saksi hari ini.

Hiu merupakan saksi pertama dalam inkues kematian Zara. Dia menambah, walaupun secara fizikal Zara boleh melepasi penghalang dengan cara memanjat, kejatuhan daripada posisi berdiri tidak boleh berlaku.

Cedera sebelum mati

Bedah siasat mendedahkan enam kecederaan antemortem — iaitu kecederaan dialami ketika masih hidup. Ini termasuk luka luaran dan trauma dalaman yang konsisten dengan kejatuhan dari tempat tinggi.

Zara turut mengalami koyakan di belakang kepala dengan pendarahan pada permukaan otak yang menyebabkan pembengkakan dan ensefalopati hipoksia. Pergelangan tangan kiri dan lengan bawahnya cacat akibat patah serta terkehel, manakala calar dikesan di sekitar siku.

Dia juga mengalami kecederaan akibat patah tulang kaki, termasuk keretakan berganda pada kedua-dua tulang tibia, patah tulang tumit kiri, dislokasi sendi buku lali kiri dan lebam pada kaki.

Trauma dalaman lain termasuk patah tulang vertebra lumbar kedua hingga keempat, pendarahan pada otot psoas kiri dan hematoma setempat pada pelvis.

Dr Hiu turut merekodkan patah tulang sternum, yang dijelaskan sebagai patah pasca-mortem — berlaku selepas kematian. Tiada kecederaan dikesan pada organ dada, abdomen atau pelvis, dan tiada tanda trauma pada bahagian kemaluan atau dubur.

Urutan kejatuhan

Menggambarkan urutan kejatuhan, Hiu memberitahu mahkamah bahawa Zara kelihatan mendarat terlebih dahulu dengan kaki kiri, kemudian kanan, sebelum terjatuh ke belakang ke sisi badannya dan terhentak di belakang kepala.

“Selepas hentakan, dia jatuh ke belakang, terutamanya pada bahagian kiri, menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan kiri, lengan bawah kiri, siku kiri, dan belakang kepala,” katanya.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Badiuszaman Ahmad jika kecederaan itu menunjukkan penderaan fizikal kronik, D Hiu menegaskan coraknya konsisten dengan kejatuhan.

Dia menjelaskan bahawa dalam kes serangan, kecederaan biasanya bertaburan di seluruh tubuh dengan tahap penyembuhan berbeza, sedangkan kecederaan Zara terkumpul dan dapat dijelaskan melalui dua mekanisme trauma — hentakan langsung ketika jatuh dan kesan menyebabkan kerosakan dalaman seperti pendarahan otak.

Dr Hiu berkhidmat sebagai pakar patologi forensik di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu sejak 1998.

Secara purata, pakar itu mengendalikan dan menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setahun.

Dia juga pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar secara purata 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.

Zara pula ditemui dalam keadaan parah pada 16 Julai dan meninggal dunia sehari kemudian di hospital akibat kecederaan otak traumatik teruk.

Jenazahnya kemudian digali semula untuk bedah siasat pada 9 Ogos selepas arahan Jabatan Peguam Negara (AGC), memandangkan tiada bedah siasat dilakukan pada awalnya.

Prosiding inkues bagi menentukan punca kematiannya dikendalikan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan sebagai koroner.

Sekitar 68 saksi dijangka memberi keterangan, termasuk lebih 30 kanak-kanak. Lawatan ke lokasi kejadian — sekolah agama di Papar — turut dijadualkan pada 11 Sept.

Mahkamah ditangguhkan sekitar jam 4.45 petang tadi dan akan bersambung semula esok pada jam 9 pagi.



Source link