Malaysia Oversight

Zaid pertikai keputusan mahkamah lindungi speaker

By MkiniBM in August 5, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim menggesa mahkamah supaya menegakkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan menyemak kesahihan keputusan yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat.

Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang menolak cubaan Bersatu untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, dan empat ahli Parlimen.

Zaid berkata mahkamah tidak boleh melepaskan tanggungjawab untuk menyemak kesahihan keputusan yang dibuat oleh speaker, sambil menambah bahawa berlindung di sebalik keistimewaan Parlimen hanya akan mengundang penyalahgunaan kuasa.

“Berlindung di sebalik keistimewaan Parlimen dalam hal perlembagaan hanya mengundang penyalahgunaan, terutamanya apabila speaker merupakan lantikan politik.

“Mahkamah pasti boleh mengambil maklum secara kehakiman mengenai perkara ini, bukan?” soalnya di X semalam.

Pada 7 April 2023, Bersatu memfailkan tindakan undang-undang terhadap Johari dan empat ahli Parlimen Sabah – Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau), dan Matbali Musah (Sipitang).

7e8ddf749c8bb3c8f1a0f5e65683b96b

Bersatu memohon perintah untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh Johari melalui sepucuk surat bertarikh 16 Januari tahun itu, yang menyatakan bahawa keempat-empat wakil rakyat tersebut telah menjelaskan dan mengesahkan bahawa tiada kekosongan kerusi Parlimen, berdasarkan tafsiran perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Bersatu.

Parti itu juga memohon pengisytiharan bahawa keempat-empat ahli Parlimen tersebut telah terhenti daripada menjadi ahli Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, yang meliputi peruntukan anti-lompat parti, serta perintah supaya Johari mengesahkan bahawa kerusi-kerusi itu kosong.

Tolak permohonan semakan kehakiman

Pada 16 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran bagi meneruskan semakan kehakiman, dengan alasan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang terhadap keputusan speaker Dewan Rakyat.

Ini bermaksud bahawa keputusan Parlimen tertentu, terutama berkaitan prosiding dalaman, dianggap di luar bidang kuasa mahkamah untuk disemak, dengan merujuk kepada Perkara 63(1) (mengenai prosiding Parlimen) dan berdasarkan preseden dari UK serta prinsip kedaulatan Parlimen.

0d426fff7c05e1f67e88b839b3814f7e

Semalam, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, dengan menyatakan bahawa keputusan yang dibuat oleh Parlimen, Dewan atau jawatankuasanya tidak boleh disemak secara kehakiman.

Namun begitu, Zaid berpendapat bahawa berdasarkan tafsiran mahkamah, speaker Dewan Rakyat menjadi seolah-olah “penjaga perlembagaan” tanpa akauntabiliti, yang akhirnya akan menjejaskan keluhuran perlembagaan.

Mengulas tentang kebergantungan hakim kepada preseden dari UK dan prinsip kedaulatan Parlimen, bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan bahawa tidak seperti UK, Malaysia mempunyai perlembagaan bertulis.

“Kita ada perlembagaan bertulis. Kita bukan Parlimen Westminster di mana Parlimen adalah paling berkuasa.

3cc1d0667f4de2c53b6c379319518169

“Di Malaysia, perlembagaan adalah paling berkuasa di bawah Perkara 4(1), yang menyebut, ‘perlembagaan ini adalah undang-undang tertinggi Persekutuan…’,” kata Zaid.

Oleh itu, apabila speaker membuat keputusan berkaitan kekosongan kerusi, menurut Zaid, ia bukan lagi isu “prosedur” tetapi sudah menjadi isu perlembagaan.

‘Undang-undang anti-lompat jelas’

Mengenai undang-undang anti-lompat parti, Zaid berkata bahawa perundangan tersebut secara jelas memperincikan apabila sesuatu kerusi Parlimen menjadi kosong.

“Untuk mendakwa bahawa keputusan speaker kebal daripada semakan kehakiman dalam konteks ini adalah sama seperti mengatakan bahawa tafsiran speaker terhadap Perlembagaan adalah muktamad. Itu tidak selaras dengan demokrasi berperlembagaan.

29728975115a0853bae3f8357009b7db
Johari Abdul

“Jika keputusan speaker adalah muktamad, maka mengapa kita susah payah merangka undang-undang untuk digunakan oleh ahli Parlimen atau mendakwa bahawa undang-undang anti-lompat adalah jaminan terhadap pengkhianatan mandat rakyat?” soalnya.

Zaid turut menggesa Bersatu untuk memfailkan rayuan seterusnya, sambil mengingatkan bahawa Perlembagaan bukanlah untuk ditafsir hanya oleh ahli politik yang sedang berkuasa.

“Ia ditulis untuk dikuatkuasakan oleh mahkamah sebagai penjaga tertinggi terhadap kesahihan dan keperlembagaan.”





Source link