Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim mengumumkan akan menyertai “perarakan keadilan” bagi menyokong perjuangan N Indira Gandhi, yang sejak 2009 berjuang untuk dipertemukan semula dengan anak perempuannya, Prasana Diksa, yang dilarikan oleh bekas suaminya ketika berusia 11 bulan.
“Macam mana dua sistem undang-undang berhubung hak penjagaan anak boleh gagal mencari titik persamaan demi keadilan? Nampaknya satu sistem ‘lebih mengutamakan Tuhan manakala satu lagi berpihak kepada ibu dan anaknya’,” kata Zaid kepada Malaysiakini.
“Sudah begitu lama dan begitu banyak keputusan mahkamah sivil dibuat namun tiada satupun yang berkesan kerana polis beranggapan mereka tidak harus ‘terperangkap’ antara (perundangan) syariah dan sivil — satu tanggapan yang salah. Mahkamah sivil mempunyai kuasa penguatkuasaan yang tidak dimiliki Mahkamah Syariah,” tegasnya.
Bekas menteri itu menekankan amat menyedihkan apabila kerajaan, perdana menteri dan institusi diraja enggan berpihak kepada kebenaran dan keadilan.

“Sebab itulah saya akan menyertai perarakan minggu depan; negara ini mesti melindungi semua orang tanpa mengira agama,” katanya lagi.
Perarakan itu dijadual berlangsung pada 22 November, bermula di kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur dan berakhir di ibu pejabat polis Bukit Aman, dengan Indira dijangka akan menyerahkan anak patung teddy bear milik Prasana sebagai simbol perjuangannya.
Protes tersebut bertujuan menyorot semula kegagalan pihak berkuasa bertindak dalam usaha mempertemukan semula Indira dengan anaknya yang masih hilang.
Bulan lalu, cara polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengendalikan kes ini kembali menjadi perhatian selepas muncul dakwaan bahawa bekas suami Indira, Riduan Abdullah masih hidup bebas di dalam negara dan bahkan menerima bantuan kerajaan, walaupun waran tangkap terhadapnya telah dikeluarkan lebih sedekad lalu.

Siasatan oleh Malaysiakini menerusi semakan pada platform Budi95 dan Bantuan Keperluan Rahmah (SARA) mendapati penggunaan nombor kad pengenalan yang dikaitkan dengan Riduan, akaun berkenaan telah menggunakan sepenuhnya bantuan tunai RM100 SARA serta sebahagian daripada kuota subsidi petrol Budi95 sebanyak 300 liter.
Untuk rekod, pada 2009, bekas suami Indira secara sepihak menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuannya dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.
Setahun kemudian, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh kepada Indira namun pada 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Ketua Polis Negara (KPN) supaya mendapatkan semula Prasana.
Pertikaian undang-undang panjang itu akhirnya diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2016, yang mengarahkan polis menahan Riduan dan menyerahkan semula Prasana kepada ibunya.
[Baca berita asal]






