ULASAN | Bersatu akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali kelapan pada 6 dan 7 Sept ini di Shah Alam, Selangor.
PAT kali ini amat signifikan kerana kita perlu bersiap menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi, dan berkemungkinan diikuti beberapa PRN lain iaitu Sarawak, Melaka dan Johor.
Sementara itu, walaupun PRU ke-16 belum diketahui tarikhnya, namun Bersatu mesti bersiap awal.
Biarpun berusia muda, Bersatu telah mencapai kejayaan-kejayaan cemerlang. Antaranya, melahirkan dua orang perdana menteri dan pengurusan Covid-19 yang diiktiraf dunia.
Terbaru, ahli-ahli Dewan Rakyatnya mempamerkan prestasi tinggi dalam perbahasan RMK13, pelbagai bidang pembangunan dan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, serta menyebabkan pengundian Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan ditangguhkan sehari, selain perbahasan RUU Pembaharuan Semula Bandar ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.
Tetapi, kita tidak boleh hidup dalam kegemilangan masa lalu. Hal itu kerana rakyat telahpun mengetahuinya. Kini mereka mengharapkan sesuatu yang baru.
Kita juga tidak boleh bergantung pada gelombang kemarahan rakyat kerana keadaannya turun naik. Lagipun, takkanlah kita mahu menjadi parti yang disokong rakyat hanya kerana mereka memarahi lawan.
Tentulah lebih baik untuk Bersatu menjadi parti yang disokong rakyat kerana mereka menyukai kita.
Perlu pendekatan cermat
Justeru, PAT ini mesti menyusun langkah. Bukan sekadar langkah reaksi yang mencongak masa kini, tetapi lebih penting lagi ialah, langkah aksi yang mencorak masa depan.
Bukan sekadar langkah biasa-biasa atau mengulangi perkara-perkara lama. Ia harus merupakan langkah baru, konkrit dan praktikal. Langkah yang memberi harapan munasabah dan menggamit imaginasi rakyat – tawaran segar.
Dalam kemelut hari ini, tawaran tersebut harus bermula dengan reset politik, iaitu mencontohi langkah aksi menangani peristiwa 13 Mei. Ini bagi menzahirkan Konsensus Nasional Baru.
Ia bertujuan memulih dan memperkukuh keyakinan antara pelbagai pihak. Contohnya, antara kaum, antara penganut-penganut pelbagai agama, antara persekutuan dan negeri-negeri, antara wilayah-wilayah dan antara pihak-pihak berkepentingan.

Ia perlu menggunakan pendekatan yang cermat dan berhemat dengan pihak-pihak berkaitan. Misalnya raja-raja Melayu, parti-parti komponen PN, parti-parti sahabat, NGO, profesional dan akademia.
Konsensus ini adalah keazaman politik yang menjangkau pelbagai spektrum kehidupan. Antaranya, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, kesepaduan sosial sebagai sendi perpaduan, kecemerlangan pendidikan yang memiliki roh, pekerjaan-pekerjaan baru, serta menjamin mutu kesihatan dan kebajikan yang terbaik untuk semua.
Semua ini memerlukan dana daripada ekonomi yang benar-benar makmur.
Ia keperluan mendesak kerana rakyat sedang sesak. Tetapi, ia bukan mudah. Ia melibatkan pembetulan stuktural dan pertumbuhan kekayaan baru.
Ini termasuklah membetulkan pelbagai ketidaksamaan akibat jurang pendidikan dan pendapatan, struktur kos/harga barangan dan perkhidmatan, sistem cukai, dasar fiskal, serta kelemahan sesetengah institusi dan agensi.
Di samping membesarkan kek ekonomi, kekayaan baru harus dioptimumkan.
Kalau dulu kekayaan baru ialah petroleum – dan Petronas ditubuhkan, dan amat berjaya – maka kekayaan baru ialah unsur-unsur nadir bumi (REE), dan wajarlah ditubuhkan REE National Corp Bhd (REE-NAS).
Ia mampu menjadi game changer.
Gagasan politik dan ekonomi ini adalah dua tonggak utama tawaran segar untuk rakyat.
SAIFUDDIN ABDULLAH ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.