Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa terdapat negeri tertentu mengamalkan pengagihan bantuan bencana yang diterima dari pusat tidak seperti yang sepatutnya.
Kata Ahmad Zahid, di negeri tertentu bantuan yang disalurkan dibuat mengikut “warna” tertentu.
Sedangkan, katanya, apabila sesuatu bencana berlaku, Perdana Menteri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan bagi tujuan membantu semua mangsa melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang berada di bawah kendalian Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan.
“Masalahnya, apabila bantuan itu sampai ke negeri tertentu, ia ditukar ‘warna’ dan mereka yang berlainan ‘warna’ dengan kerajaan terbabit tidak menerima bantuan yang sepatutnya,” kata Ahmad Zahid.
Dia berkata demikian ketika berucap merasmikan jalan dan jambatan dari Kampung Labu – Kampung Batu Balak, Jerantut dan Kampung Gemunchur – Kampung Mela, di Lipis, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengingatkan setiap wakil rakyat supaya menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.

Dia pada masa yang sama turut menjelaskan hubungan rapat antara pimpinan negeri dan Persekutuan amat penting dalam memastikan sebarang perancangan kemajuan dapat dilaksanakan dengan teratur demi kepentingan rakyat.
“Masalahnya kita mudah terpengaruh dengan soal remeh dan ia sedikit sebanyak mengganggu peranan sebenar yang diamanahkan.
“Kita ‘berperang’ lima tahun sekali… lepas rakyat dah pilih, buatlah kerja,” katanya.
Mengenai Pahang, Ahmad Zahid berkata, setakat tahun ini sudah lapan kali dia turun ke negeri berkenaan kerana yakin potensinya untuk maju.
“Saya yakin dengan kemampuan kerajaan negeri diterajui Wan Rosdy dan barisan exco kerajaan Pahang.
“Sudah pasti segala kemajuan dan pembangunan di Pahang adalah berdasarkan kebolehan dimiliki pimpinan yang ada,” ujarnya.






