Malaysia Oversight

Yusof Ismail digugur dari pasukan khas EAIC siasat isu pemain warisan

By MkiniBM in November 11, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Pasukan Petugas Khas (PPK) Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi menyiasat dakwaan kesilapan dalam proses kewarganegaraan tujuh pemain naturalisasi Malaysia memutuskan untuk menggugurkan Yusof Ismail menganggotai pasukan itu.

Dalam kenyataan hari ini, EAIC berkata pengguguran itu ekoran kemungkinan konflik kepentingan memandangkan Yusof juga terlibat dalam siasatan bebas yang ditubuhkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu.

Perkara itu diputuskan semasa mesyuarat pertama PPK EAIC hari ini.

“Keputusan untuk menggugurkan Yusof dibuat selepas mengambil kira potensi konflik kepentingan berikutan kedudukannya sebagai ahli jawatankuasa siasatan bebas yang dilantik oleh FAM,” menurut EAIC.

Selain itu, badan itu memaklumkan mesyuarat hari ini turut menetapkan terma rujukan PPK bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas dan berintegriti.

Kata EAIC, PPK akan meneliti secara menyeluruh aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain-pemain naturalisasi terbabit.

Pasukan itu komited untuk menyelesaikan siasatan dalam tempoh tiga bulan, kata EAIC lagi.

Terdahulu, Fifa antara lain berkata jawatankuasa yang menyiasat isu melibatkan tujuh pemain warisan Malaysia mendapati sijil kelahiran yang dikemukakan oleh FAM dalam beberapa prosiding kelayakan telah dipalsukan, untuk mengubah tempat kelahiran datuk nenek pemain.

FAM sejak itu telah membentuk sebuah jawatankuasa bebas, yang diketuai oleh bekas ketua hakim Raus Shariff, untuk menyiasat perkara itu.



Source link