SEOUL: Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, berdepan tuduhan baharu membantu musuh dan penyalahgunaan kuasa selepas beliau didakwa mengarahkan penerbangan dron ke Korea Utara bagi memperkuat usaha untuk mengisytiharkan undang-undang tentera.
Korea Utara tahun lalu mendakwa dron dari Selatan menjatuhkan risalah propaganda di Pyongyang, walaupun tentera Seoul belum mengesahkan perkara itu.
Pendakwa raya negeri membuka siasatan khas tahun ini untuk meneliti sama ada penghantaran dron itu merupakan percubaan haram Suk Yeol untuk mencetuskan provokasi terhadap Pyongyang dan menggunakan tindak balasnya sebagai alasan untuk mengisytiharkan pemerintahan tentera.
Pendakwa Park Ji-young berkata kepada wartawan hari ini, pasukan peguam khas mengemukakan pertuduhan membantu musuh secara umum dan penyalahgunaan kuasa terhadap bekas presiden itu.
Beliau berkata, Suk Yeol dan lain-lain ‘bersekongkol untuk mewujudkan keadaan yang membolehkan pengisytiharan undang-undang darurat tentera, sekali gus meningkatkan risiko konfrontasi bersenjata antara Korea serta menjejaskan kepentingan awam.’
Katanya, bukti kukuh ditemukan dalam memo yang ditulis oleh bekas komander risikan balas Suk Yeol pada Oktober tahun lalu, yang mencadangkan untuk mewujudkan keadaan tidak stabil atau mengambil peluang yang timbul.
Memo itu menyatakan tentera harus menyasarkan lokasi yang mesti menyebabkan Korea Utara marah sehingga bertindak balas, seperti di Pyongyang atau bandar pesisir utama Wonsan.
Suk Yeol menjerumuskan Korea Selatan ke dalam krisis politik apabila beliau berusaha menentang pemerintahan sivil pada Disember tahun lalu, dengan menghantar tentera bersenjata ke Parlimen bagi menghalang anggota dewan mengundi menolak pengisytiharan undang-undang tenteranya.
Usaha tersebut gagal dan Suk Yeol akhirnya ditangkap dalam serbuan awal pagi pada Januari lalu, menjadikannya Presiden Korea Selatan pertama yang ditahan pihak berkuasa.
Beliau digugurkan daripada jawatan pada April, dan pengundi memilih Lee Jae Myung dalam pilihan raya umum pada Jun.- AFP






