Kerajaan Kelantan mengarahkan semua sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengemas kini peraturan di asrama bagi mengelakkan insiden salah laku disiplin hingga berlaku kecederaan membabitkan pelajar.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata tindakan itu bagi memastikan insiden bermain mercun di kawasan sekolah khususnya di asrama hingga mengundang kecederaan baru-baru ini, tidak berulang.
“Sebelum ini peraturan (asrama) sudah ada, cuma kita perlu memperkasakan serta memperketatkannya lagi termasuk pihak sekolah perlu melakukan pemeriksaan secara berkala dengan lebih kerap terutamanya ketika menjelang musim perayaan.
“Kes yang berlaku baru-baru ini di sebuah sekolah agama di Jeli adalah terpencil, ibarat kita mempunyai 30,000 pelajar tetapi hanya seorang sahaja yang membuat kesalahan. Bagaimanapun, ia perlu juga diberi perhatian memandangkan telah menyebabkan kecacatan kekal pada pelajar berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2024 bagi sekolah YIK di Pejabat YIK Tunjong di Kota Bharu hari ini.
Pada 24 Mac lepas, seorang pelajar sebuah sekolah agama di Jeli putus jari kiri sehingga menyebabkan kecacatan kekal, manakala dua rakannya cedera selepas dipercayai bermain mercun yang telah diubah suai.
Sementara itu, Wan Roslan berkata 192 calon SPM 2024 di bawah YIK berjaya memperoleh 9A hingga 12A, dengan 80 orang daripada mereka telah memperoleh A dalam semua mata pelajaran.
“Peratus kelulusan penuh SPM 2024 meningkat 0.86 peratus iaitu 97.50 peratus berbanding 96.65 pada 2023. Berdasarkan analisis lengkap 42 sekolah telah mencatat keputusan kelulusan 100 peratus.
“Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) pula, tiga sekolah merekodkan pencapaian teratas iaitu Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat dan Maahad Sains Tok Guru,” katanya.
– Bernama