Malaysia Oversight

Yeoh puji Saifuddin lepas tular hantaran ‘anak tanpa IC main bola baru dipeduli’

By MkiniBM in October 10, 2025 – Reading time 2 minute
Yeoh puji Saifuddin lepas tular hantaran 'anak tanpa IC main bola baru dipeduli'


Tiada menteri dalam negeri lain yang menunjukkan sifat belas kasihan dan kecekapan dalam isu kerakyatan seperti Saifuddin Nasution Ismail, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Dia berkata demikian selepas kumpulan siber menimbulkan semula hantaran media sosial lamanya bertarikh 1 Sept 2022, yang menyoal jika kanak-kanak tanpa kerakyatan perlu menjadi pemain bola sepak sebelum diberikan kewarganegaraan.

Hantaran lama itu berbunyi:

“Adakah kita perlu memastikan semua anak tanpa kerakyatan bermain bola sepak sebelum pihak berkuasa mengendahkan nasib mereka? “Inilah sebab saya sebelum ini mencadangkan penubuhan kementerian untuk kanak-kanak, kerana kita sanggup berbelanja berbilion untuk kepentingan lelaki, tetapi hanya sedikit untuk perlindungan kanak-kanak.”

8ae54aad913c5fc04da1864c8bcd92c3

Memberi penghargaan kepada Saifuddin, Yeoh berkata pemimpin itu telah menyelesaikan tunggakan sebanyak 49,000 permohonan berkaitan kewarganegaraan.

“Di bawah kepimpinannya juga, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk membolehkan ibu warganegara Malaysia menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak yang lahir di luar negara,” kata ahli Parlimen Segambut itu pada satu hantaran di Facebook hari ini.

Mengenai hak kanak-kanak, Yeoh berkata juga telah menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak pada 2023, yang diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Membezakan fakta adalah satu latihan yang sangat penting dalam dunia digital hari ini.

Cybertrooper dan segelintir ahli politik gemar memilih hantaran secara rawak tanpa menggunakan daya fikir yang kritis,” tambahnya.

Pada 26 Sept lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengenakan sekatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain “heritage” kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa berkaitan pemalsuan dokumen.

Fifa menyatakan FAM telah menyerahkan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit, yang membolehkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

Fifa turut menetapkan FAM perlu membayar denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta), manakala setiap tujuh pemain itu dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,500) seorang.

Saifuddin guna kuasa perlembagaan

Semalam, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk mempertimbangkan tujuh pemain bola sepak “warisan” itu sebagai layak menerima kewarganegaraan Malaysia.

Saifuddin menjelaskan Perkara 20(1)(e) memberi kuasa budi bicara kepada menteri dalam negeri ketika mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan daripada warga asing, khususnya dalam memenuhi syarat tempoh menetap minimum.

“Dalam perlembagaan juga ada satu fasal namanya Perkara 20(1)(e) di mana menteri boleh guna kuasa budi bicaranya.

“Kuasa 20(1)(e) ini bermaksud, maksud pemastautin itu seperti dalam perlembagaan membenarkan keberadaan pemohon itu di luar pun bolehlah dianggap dia berada dalam negara.

“Begitu bahasa perundangan dalam buku ini, dalam kitab ini. Saya guna pakai Perkara 20(1)(c) ini bagi memenuhi syarat pemastautin itu,” katanya semasa Sesi Pertanyaan Menteri.,” katanya semasa sesi Soal Jawab Menteri, merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Saifuddin turut mempertahankan keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kelahiran bagi datuk dan nenek kepada tujuh pemain “warisan” berkenaan.

Menurutnya, di bawah Seksyen 10(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, ketua pengarah jabatan itu mempunyai kuasa untuk mendaftarkan kelahiran jika pegawai berpuas hati dengan bukti yang dikemukakan.

[Baca berita asal]



Source link