PETALING JAYA: “Jangan betulkan benda yang salah dan biasakan yang salah.”
Demikian pandangan penyanyi dan pencipta lagu, Bunga Isme, 25, berhubung tindakan penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak yang seolah-olah ‘menutup mata’ berhubung kes penyelewengan dana membabitkan bekas perdana menteri itu.
“Takut baca komen dekat TikTok – walaupun dia sakau duit rakyat, tapi rakyat senang masa dia memerintah”.
“Jangan betulkan benda yang salah, dan biasakan yang salah. Yang disakau itu billion, bukan setakat seratus dua.
“Yang berasa kesakitan itu bukan waktu dia memerintah, kesakitan itu terasa selepasnya, tambah pula keruntuhan pentadbiran semasa covid-19, sekarang baru nak pulih sikit-sikit.
“Sekarang kita kena banyak berjimat, semata-mata nak bayar hutang,” tulisnya di Threads.
Mahkamah Tinggi Jumaat lalu menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Najib selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari dalam perkongsian sama turut mendakwa kes penyelewengan berkenaan memberi impak kepada tadbir urus ekonomi negara sekarang.
“Adik-adik, yang mungkin ada rasa senang masa zaman itu (memang best pun tak disangkal, slogan 1 Malaysia, BR1M, klinik 1 Malaysia memang menjadi) dan mungkin rasa susah zaman sekarang, itu lah puncanya.
“Berbillion kena sakau, hutang semakin meningkat, kekurangan dana untuk perkara-perkara kerajaan seperti subsidi, sekolah, hospital.
“Subsidi mungkin adik adik rasa macam remeh, tapi subsidi ini banyak, subsidi minyak, gula, petrol, pendidikan,” kongsinya.-UTUSAN






