LONDON: Yamaha menegaskan kedudukan di tangga tercorot MotoGP musim ini bukan kegagalan, sebaliknya sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu.
Walaupun Honda kini berpeluang menamatkan musim di depan pesaing tradisinya itu dengan kelebihan 45 mata dalam kedudukan pengeluar, Yamaha tetap menegaskan keutamaan mereka adalah pembangunan jentera baharu berbanding memburu keputusan segera.
Ketua Pengarah Pasukan Yamaha, Massimo Meregalli berkata, fokus utama musim ini ialah memperkukuh asas pembangunan jentera, termasuk pengujian prototaip V4 yang dijadual digunakan sepenuhnya pada 2026.
“Kami mahu jelaskan bahawa tahun ini kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan motosikal.
“Perubahan yang kami lakukan ini sebahagian daripada strategi jangka panjang dan bukannya jalan pintas kerana tahap prestasi yang kami mahukan memerlukan masa dan usaha berterusan,” kata Meregalli.
Menurutnya, kedua-dua pelumba utama, Fabio Quartararo dan Alex Rins terus diberi sokongan penuh dengan dua pusingan terakhir di Portimao dan Valencia bakal menjadi medan penting menguji jentera baharu sebelum sesi ujian musim 2026.
Namun tekanan kian dirasai apabila Quartararo yang kini di kedudukan kesembilan dunia memberi amaran beliau hanya akan kekal bersama Yamaha selepas 2026 sekiranya diberi jentera kompetitif yang mampu bersaing untuk kemenangan.
“Saya perlu rasa yang motosikal ini mampu menang, dan saya boleh bersaing untuk kedudukan tiga atau lima teratas dalam setiap sesi, setiap Sprint dan setiap GP,” kata Quartararo.
Pelumba Perancis itu yang menamatkan kemarau podium Yamaha di Jerez awal musim ini berharap dapat menutup dua perlumbaan terakhir dengan keputusan manis di Portimao, litar yang pernah menyaksikan kemenangannya pada 2021 dan 2022. – AGENSI






