Seorang pemimpin Warisan mendesak Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), Natasha Sim, supaya berterus terang berhubung dakwaan sama ada dia menaiki jet peribadi milik jutawan batu arang Indonesia atau tidak.
Dalam kenyataan hari ini, ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mudi Dubing, berkata sebarang jawapan yang diberikan akan menjadi rekod penting dan bahan bukti di mahkamah sekiranya diperlukan.
“Saya menggesa Sim tampil menjawab secara rasmi dan terbuka di media berkenaan dakwaan ini.
“Soalan mudah yang perlu dijawab oleh beliau ialah, adakah beliau pernah menaiki jet peribadi tersebut bersama beberapa individu yang kini gambarnya sedang tular di media sosial?
“Soalan ini tidak memerlukan huraian yang panjang. Hanya satu jawapan diperlukan – ya, atau tidak.
“Rakyat Sabah tidak berminat dengan alasan bersifat kabur, putar belit atau naratif meleret.
“Apa yang diminta hanyalah kejelasan. Adakah beliau menaiki jet peribadi tersebut atau tidak?” katanya.

Justeru, Mudi, Sim diminta agar tidak mengelak daripada memberikan jawapan, sebaliknya memberikan penjelasan secara rasmi dan terbuka kepada rakyat Sabah.
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan bahawa ada gambar tersebar yang memaparkan beberapa individu bersama bagasi di sebelah sebuah jet peribadi.
Gambar itu didakwa memaparkan Sim, setiausaha syarikat terbabit Emily Chong, dan taikun balak Sabah, Elbert Lim, berdiri di sebelah jet yang dikatakan milik seorang jutawan arang batu Indonesia.
Adun Warisan, Justin Wong, menyifatkan gambar tersebut sebagai pencetus skandal baru yang melanda SMM – yang sebelum ini terpalit dengan skandal lesen cari gali mineral – manakala Pemuda Bersatu Sabah menggesa SPRM menyiasatnya.
Bagaimanapun, Sim menyangkal dakwaan berkenaan jet peribadi itu setelah bekas CEO SMM, Jontih Enggihon, membuat laporan polis pada 29 Nov lalu.