xAI Turut Ingin Membangunkan Model Dunia Untuk Keperluan Robotik
Effi Saharudin
xAI ialah jawapan Elon Musk kepada OpenAI dan Google dengan pelaburan besar dilakukan manusia terkaya dunia untuk memenangi perang kecerdasan buatan (AI). Sungguhpun pelaburan besar dilakukan, teknologi seperti Grok masih belum mendapat sambutan besar-besaran jika dibandingkan dengan ChatGPT, Sora atau Gemini.
Projek seterusnya yang dilakukan xAI ialah membangunkan model dunia (world model) untuk keperluan robotik dan permainan video menurut laporan Financial Times. Bagi merealisasikan impian ini, Musk telah mengambil Zeeshan Patel dan Ethan He yang dahulunya bertugas di NVIDIA. Mereka terlibat dalam pembangunan model dunia di NVIDIA di bawah panji Omniverse.

Di NVIDIA Omniverse telah digunakan untuk melatih sistem swapandu kenderaan, sistem robotik yang bersamaan latihan selama ratusan tahun dan kembar kepada bumi yang boleh meramalkan cuaca serta perubahan iklim. Sebelum ini Musk telahpun berkongsi di X beliau percaya permainan video yang dijana sepenuhnya oleh AI bakal dibangunkan oleh xAI dalam masa terdekat.
Pelan jangka panjang projek model dunia ini juga dapat meningkatkan kemampuan FSD pada kenderaan Tesla dan membolehkan robot Optimus berfungsi dengan lebih baik di dunia sebenar. FSD dalam iterasi semasa masih belum mampu melakukan perjalanan dari pantai Timur ke Barat seperti dijanjikan Musk lima tahun lalu. Sementara pelan membina ribuan Optimus tahun ini dilaporkan ditangguh kerana pelbagai isu yang belum diselesaikan. Ini juga tidak dibantu oleh Tesla dan xAI kehilangan kakitangan kepada pesaing.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






